Pages

Thursday, March 8, 2012

Di mana Nurul Nadirah: Keluarga harap Dirang selamat

Berita Harian Online | Di mana Nurul Nadirah: Keluarga harap Dirang selamat:pix_gal0
Ibu kanak-kanak hilang yakin anak disembunyikan di kawasan berhampiran

PASIR GUDANG: Selepas lapan hari berlalu, keluarga Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang lebih manja dengan panggilan Dirang, masih menaruh harapan tinggi supaya anak kecil itu ditemui segera dalam keadaan selamat.
Harapan itu disandarkan mereka selepas mengadakan solat hajat serta doa selamat, selain pandangan lima pengamal perubatan tradisional dan Islam yang membantu keluarga Dirang.
Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata sejak hari pertama anaknya dilaporkan hilang, beliau dan suaminya, Lima Medeng, 25, berusaha mencari anak kesayangan mereka di sekitar daerah ini kerana yakin Dirang masih berada di kawasan berdekatan.

“Saya sekeluarga hanya mampu berterima kasih kepada sumbangan semua pihak, termasuk bomoh dan ustaz yang membantu dengan ikhlas tanpa meminta sebarang bayaran daripada kami yang sememangnya tidak berkemampuan kerana suami masih mencari pekerjaan.

“Bomoh dan ustaz yang kami temui sekitar Pasir Gudang, Seri Alam dan Masai mendakwa Dirang selamat tetapi dalam kawalan seseorang. Mereka menasihatkan kami mencarinya di kawasan rumah kosong di sini kerana percaya Dirang dikurung di situ,” katanya.

Roselyn berkata, setakat ini, pencarian yang dilakukan mereka belum berhasil dan tiada sebarang petunjuk Dirang disembunyikan di kawasan berkenaan. 
“Saya dan suami tidak akan berputus asa, selagi terdaya kami tetap akan berusaha mencari Dirang selain mengusahakan majlis doa selamat dengan menjemput jiran bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Dirang.

“Poster Dirang akan ditampal bagi memudahkan pencarian anak kedua kami itu,” katanya.

Sementara itu, kumpulan perbankan RHB akan memasang poster gambar Dirang yang dilaporkan hilang sejak lapan hari lalu pada lebih 1,800 mesin pengeluaran wang (ATM) miliknya di seluruh negara dalam usaha membantu menjejaki kehilangan kanak-kanak terbabit.

Pengarah Perkhidmatan Korporat RHB, Norazzah Sulaiman, berkata pihaknya juga akan memaparkan gambar Dirang pada laman web bank berkenaan bagi membolehkan orang ramai yang menggunakan khidmat dalam talian mereka membantu mengesan anak kedua daripada tiga beradik itu.

Beliau berkata, RHB juga akan bekerjasama dengan beberapa media tempatan untuk mengiklankan gambar kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak terbabit.
'via Blog this'

No comments: