Pages

Monday, March 26, 2012

Budak peminta sedekah membanjiri jalan Madinah

myMetro | Budak peminta sedekah membanjiri jalan Madinah:

MADINAH: Jumlah kanak-kanak yang membarisi jalan raya, khususnya berhampiran lampu isyarat di bandar suci ini untuk meminta sedekah semakin meningkat sejak cuti sekolah yang bermula Rabu lalu.
Perkembangan itu mencetuskan rasa kurang senang di kalangan penduduk dan pengunjung yang mendesak pihak berkuasa bertindak sebelum jumlahnya bertambah ramai.

“Ini perkembangan baru di Madinah. Kami tidak pernah melihat begitu ramai kanak-kanak mengemis sebelum ini. Kawasan yang menjadi tumpuan ialah berhampiran persimpangan jalan raya, masjid dan stesen minyak,” kata seorang penduduk, Ghazi Falah ketika diwawancara wartawan Arab News.
Seorang lagi penduduk, Naif Al-Mitairi, menyalahkan keluarga terbabit kerana tidak memantau kegiatan anak masing-masing. Sebahagian besar pengemis kanak-kanak itu ialah warga asing.

“Penduduk dan pihak berkuasa perlu bersama-sama membanteras perkembangan ini sebelum ia menjadi tidak terkawal,” kata seorang pengunjung warga Mesir Mahmoud Essam Al-Din.

Seorang wanita Saudi, Maha Saeed berkata, dia melihat sendiri kanak-kanak mengemis di pusat beli-belah.
“Kebanyakan mereka anak pendatang asing. Jumlah mereka meningkat mendadak pada hujung minggu dan cuti sekolah. Mereka termasuk kanak-kanak perempuan yang semuda 10 tahun,” katanya. - AN

'via Blog this'

No comments: