Pages

Friday, March 9, 2012

Banjir melanda kembali

Banjir melanda kembali - Perak - Sinar Harian:
Banjir melanda kembali
SUNGAI MANIK - Dalam masa satu minggu, Dun Changkat Jong dan Sungai Manik dilanda dua kejadian banjir yang mana kejadian terbaru berlaku pada awal pagi semalam melibatkan 169 mangsa daripada 41 keluarga.
Kejadian banjir di Dun Changkat Jong memaksa 100 mangsa daripada 26 keluarga berpindah ke dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong sejak jam 9 pagi semalam, manakala selebihnya adalah dari kawasan Dun Sungai Manik.
Ketia Kampung Tukang Sidin, Sungai Manik, Mohd Ali Abd Hamid memaklumkan, hujan lebat melanda selama beberapa jam pada petang kelmarin menyebabkan paras air sungai berhampiran naik mendadak.
Mohd Ali berkata, air sungai telah mula masuk ke dalam rumah penduduk sejak pada awal pagi semalam selepas ban sungai berkenaan pecah dan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai (DOR) Tukang Sidin.
“Setakat ini 15 keluarga, melibatkan 69 mangsa banjir dipindahkan ke DOR Tukang Sidin dan saya menjangka lebih ramai penduduk terpaksa dipindahkan jika hujan berterusan pada petang ini (semalam),” katanya ketika ditemui, di sini.
Pemangku Pegawai Kebajikan Daerah Hilir Perak, Selvaratnam berkata, setakat ini hanya Dewan SK Changkat Jong dan DOR Tukang Sidin digunakan untuk menempatkan semua mangsa banjir dari kedua-dua Dun.
Menurutnya, mangsa terlibat di Changkat Jong merupakan penduduk Kampung Baru Batu 8 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan bantuan segera seperti makanan dan selimut untuk semua mangsa terlibat.
ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyatakan, jarang sekali paras air banjir meninggi seperti kejadian pada awal pagi semalam dan beliau sendiri terkejut ketika melawat kawasan-kawasan terlibat.
Beliau mengakui kawasan Kampung Tukang Sidin pernah dinaiki air sebelum ini, namun ketinggian paras air dalam kejadian semalam adalah di luar jangkaan.
“Apa yang dapat kita kenal pasti, kejadian banjir kali ini berpunca daripada ban sungai yang pecah kerana tidak dapat menampung kuantiti air yang bertambah secara mendadak.
“Apa yang pasti hujan lebat turut berlaku di sebelah hulu, iaitu di kawasan tinggi dan air sungai dari kawasan berkenaan telah mengalir ke arah Hilir Perak,” katanya.
ZAINOL berkata, selain Tukang Sidin, Kampung Sungai Kerawai, Kampung Ayer Itam, Kampung SC Ayer Itam dan Kampung Degong turut terlibat dalam kejadian banjir di kawasan Dun Sungai Manik.
Beliau turut menjelaskan, selain faktor hujan lebat dan ban sungai pecah, sikap penduduk yang didakwa menarah ban sungai sebagai laluan ke kebun turut menjadi faktor.
Tambah beliau, sikap seperti itu telah menyebabkan air memasuki kawasan kebun dan mengakibatkan petani terpaksa berdepan dengan risiko kerosakan tanaman.
“Saya telah dimaklumkan yang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan cuba membina kembali ban sungai yang pecah itu, namun tidak dapat memastikan ia berjaya dilaksanakan berikutan aliran serta kuantiti air sungai semakin bertambah.
“JPS juga memaklumkan akan melaksanakan usaha berkenaan selepas air sungai surut bagi memudahkan kerja baik pulih,” katanya.

'via Blog this'

No comments: