Pages

Thursday, February 16, 2012

Republik Islam nafi terbabit

       
TEHERAN: Republik Islam Iran semalam menafikan mempunyai kaitan dengan letupan di Bangkok, sebaliknya menuduh anasir yang ada hubungan dengan rejim Zionis yang bertanggung jawab.

Jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast menolak tuduhan Israel yang menuding jari pada Iran dan mendakwa rejim Zionis itu cuba menjejaskan hubungan baik dan bersejarah antara negaranya dengan Thailand.


“Republik Islam Iran percaya anasir rejim Zionis bertanggungjawab terhadap jenayah itu dan bersedia membantu dan bekerjasama dengan kerajaan Thai dalam menyiasat kejadian berkenaan,” kata Ramin.

Beliau menegaskan, tuduhan Israel itu adalah susulan kepada dakwaan Amerika Syarikat Oktober lalu mengenai rancangan Teheran untuk membunuh duta Arab Saudi ke Washington serta tuduhan Israel bahawa Iran bertanggungjawab terhadap cubaan mengebom diplomat rejim Zionis itu di India dan Georgia.


Ramin menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas. Pihak berkuasa Thailand menahan dua warga Iran berhubung satu siri letupan di Bangkok, kelmarin.


Seorang daripada mereka, Saied Morati, 28, putus kedua-dua kaki apabila cuba melontar bom ke arah polis ketika cuba melarikan diri dari satu letupan awal di Bangkok. - AFP

No comments: