Pages

Thursday, February 16, 2012

Makanan kanak-kanak dicatu


LONDON 15 Feb. - Berjuta-juta ibu bapa di negara membangun terpaksa mengurangkan makanan untuk anak-anak mereka disebabkan harga makanan yang melonjak dalam tempoh setahun yang lalu, menurut tinjauan agensi bantuan Save the Children.

Hampir 17 peratus daripada ibu bapa yang terlibat dalam tinjauan itu berkata, anak-anak mereka terpaksa berhenti sekolah bagi membantu keluarga dengan bekerja untuk mendapatkan makanan.

Agensi itu berkata, kenaikan harga makanan memburukkan lagi masalah kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak dan boleh merencatkan kemajuan dalam mengurangkan kematian kanak-kanak.

Save the Children dalam laporannya berjudul A Life Free From Hunger: Tackling Child Malnutrition memberi amaran, jika tiada tindakan diambil, perkembangan fizikal dan mental setengah bilion kanak-kanak akan terbantut dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Tinjauan itu dijalankan oleh agensi tinjauan antarabangsa Globescan terhadap keluarga di lima negara iaitu India, Bangladesh, Peru, Pakistan dan Nigeria, yang didiami oleh separuh daripada kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan.

Ia mendapati, hampir 25 peratus daripada satu bilion ibu bapa mengurangkan makanan untuk keluarga mereka dalam masa setahun lalu.

Satu pertiga daripada ibu bapa dalam tinjauan itu berkata, anak-anak mereka mengadu tidak cukup makan.

"Dunia mencapai kemajuan besar dalam mengurangkan kematian kanak-kanak daripada 12 juta kepada 7.6 juta, tetapi momentum ini akan terencat jika kita gagal menangani masalah kekurangan zat makanan," kata Ketua Eksekutif Save the Children, Justin Forsyth.

Agensi itu mahu United Kingdom (UK) menerajui usaha untuk mengurangkan masalah kelaparan dan melindungi kanak-kanak daripada kesan kenaikan harga makanan, bermula dengan satu Sidang Kemuncak Kelaparan apabila para pemimpin dunia berhimpun di London untuk temasya Sukan Olimpik pada tahun ini. - AGENSI


Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: