Pages

Thursday, February 16, 2012

1.8j orang mati disenarai sebagai pengundi AS


WASHINGTON 15 Feb. - Lebih 1.8 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) yang telah mati masih disenaraikan sebagai pengundi aktif, jelas satu kajian disiarkan semalam yang menyifatkan sistem pendaftaran pengundi AS sebagai tidak cekap.

Kajian itu dijalankan oleh Pusat Pew di AS turut mendedahkan satu daripada lapan rekod pengundi mengandungi ketidaktepatan dan sekurang-kurangnya 51 juta pengundi yang layak tidak mendaftarkan diri untuk mengundi dalam Pilihan Raya.

Kajian ini dibuat berikutan persediaan AS untuk Pilihan Raya Presiden dan Kongres pada November ini.

"Pendaftaran pengundi membuka pintu kepada penyertaan dalam sistem demokrasi kita, tetapi sistem yang ketinggalan zaman dan masih berasaskan kertas itu dibelenggu masalah kesilapan dan ketidakcekapan.

"Masalah tersebut menyebabkan pembaziran wang pembayar cukai, menjejaskan keyakinan pengundi dan memarakkan perbalahan antara parti-parti politik berhubung integriti pilihan raya kita," kata Pengarah Inisiatif Pilihan Raya di Pusat Pew, David Becker.

Daripada kira-kira 24 juta pendaftaran salah di seluruh AS, atau 13 peratus daripada keseluruhan pendaftaran pengundi di AS, lebih 1.8 juta melibatkan orang yang sudah meninggal dunia, menurut Pew.

Sebanyak 2.75 juta lagi pengundi didaftarkan di lebih sebuah negeri, manakala kira-kira 12 juta rekod mengandungi alamat tidak betul, menandakan pengundi sudah berpindah atau Perkhidmatan Pos menghadapi masalah untuk menjejaki mereka.

Sesetengah kesilapan itu dipercayai berpunca daripada faktor bahawa seorang daripada lapan rakyat Amerika berpindah pada tahun pilihan raya 2008 dan 2010, kebanyakannya golongan muda dan anggota tentera AS.

Jumlah 51 juta pengundi layak tetapi tidak mendaftarkan diri itu menyamai hampir 25 peratus daripada seluruh rakyat AS yang layak mengundi.

Sebagai perbandingan, 93 peratus daripada rakyat Kanada yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi, menurut Pew. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: