Pages

Monday, February 27, 2012

Rakyat Syria mengundi pinda Perlembagaan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Seorang pengundi wanita Syria memasukkan kertas undi ke dalam peti undi ketika mengundi di satu pusat pengundian di Damsyik, semalam bagi meminda Perlembagaan negara itu. - AFP


DAMSYIK 26 Feb. - Rakyat Syria mengundi, hari ini dalam pungutan suara bagi meminda Perlembagaan, meskipun penentang rejim Presiden Bashar al-Assad menggesa supaya pengundian itu dipulaukan.

Pungutan suara itu disifatkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai 'tidak masuk akal' kerana diadakan di tengah-tengah pertumpahan darah yang belum dapat dibendung.

Jika diluluskan, Perlembagaan baru itu akan menamatkan asas undang-undang yang membolehkan parti pemerintah, Parti Baath memegang kuasa selama lima dekad, tetapi kuasa meluas masih terletak di tangan Assad.

Penentang rejim berkata, perubahan itu hanya bersifat luaran dan mereka hanya akan berpuas hati jika Assad melepaskan kuasa selepas 11 bulan pasukan keselamatan beliau menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan sehingga menyebabkan lebih 7,600 orang terbunuh setakat ini.

Semalam sahaja, 98 orang termasuk 72 penduduk awam maut dalam serangan pasukan keselamatan ke atas kawasan pemberontak, menurut Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia.

Semasa pusat pengundian dibuka pada pukul 7 pagi ini (1 petang waktu Malaysia), badan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu melaporkan keganasan meletus lagi di bandar-bandar di seluruh negara ini.

Lebih 14 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas layak mengundi pada pungutan suara, hari ini di 13,835 pusat pengundian di seluruh negara.

Assad mengumumkan Perlembagaan baru itu awal bulan ini, sebagai langkah terbaru dalam proses pembaharuan yang hendak dijalankan secara berhati-hati oleh rejim beliau.

Dua sekutu utama Damsyik, Beijing dan Moscow yang telah menyekat resolusi ke atas Syria di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) melahirkan sokongan terhadap pungutan suara itu.

Dirangka oleh sebuah jawatankuasa terdiri daripada 29 orang yang dilantik oleh Assad, Perlembagaan baru itu akan menggugurkan Perkara 8 dalam Perlembagaan sekarang, yang menjadikan Parti Baath pimpinan Assad sebagai 'ketua negara dan masyarakat' dan sebaliknya sistem politik baru akan berasaskan 'pluralisme' atau penglibatan pelbagai parti.

Namun, di bawah Perlembagaan baru itu, Presiden akan terus memiliki kuasa meluas termasuk kuasa untuk melantik Perdana Menteri dan Kabinet dalam sesetengah kes, menggunakan veto untuk menyekat rang undang-undang. - AFP


'via Blog this'

No comments: