Pages

Tuesday, February 14, 2012

Liga Arab setuju bantu pemberontak Syria

Seorang kanak-kanak perempuan memegang anak patung dan sekeping nota membantah kekejaman Presiden
Bashar al-Assad di Daria, dekat Damsyik, kelmarin. - Reuters

KAHERAH 13 Feb. - Liga Arab bersetuju untuk membuka hubungan dengan penentang Presiden Bashar al-Assad di Syria serta menawarkan segala bantuan politik dan kewangan kepada mereka.
Blok Arab itu juga bersetuju untuk meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan pasukan pengaman bersama PBB-Arab untuk dihantar ke Syria, bagi menggantikan misi pemerhati Arab yang dibubarkan.
"Diplomat Liga Arab akan membuka saluran komunikasi dengan penentang rejim di Syria dan menawarkan sokongan penuh politik dan kewangan, di samping menggesa penentang rejim supaya menyatukan barisan," menurut satu kenyataan Liga Arab.
Mereka (diplomat) juga akan 'meminta Majlis Keselamatan PBB membuat keputusan mengenai penubuhan sebuah pasukan tentera pengaman PBB-Arab untuk menyelia pelaksanaan gencatan senjata', tambah kenyataan itu.
Pada satu mesyuarat yang berlangsung sehingga larut malam di Kaherah semalam, blok 22 negara anggota itu mengumumkan berakhirnya secara rasmi misi pemantaunya ke Syria, yang digantung pada bulan lepas disebabkan keganasan yang menjadi-jadi.
Hanya Algeria dan Lebanon melahirkan kesangsian berhubung resolusi tersebut.
Duta Syria ke Kaherah, Yusef Ahmed mengutuk kedua-dua keputusan Liga Arab itu.
"Republikan Arab Syria menolak sama sekali keputusan Liga Arab yang mencerminkan histeria kerajaan-kerajaan terlibat selepas mereka gagal menarik campur tangan asing pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB," kata Ahmed dalam kenyataannya.
Burhan Ghalioun, pemimpin Majlis Kebangsaan Syria yang menjadi penaung bagi semua penentang rejim Assad, memberitahu televisyen Al-Jazeera, beliau menyambut baik keputusan Liga Arab itu dan menyifatkannya sebagai langkah pertama 'ke arah kejatuhan rejim'.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 39 lagi penduduk awam dilaporkan terbunuh semalam, ramai daripada mereka maut dalam serangan berterusan tentera rejim Assad ke atas bandar raya Homs, tengah Syria. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: