kempunan hasil curi

KUALA BERANG – Seorang lelaki kempunan kerana tidak sempat menjual hasil curi untuk membeli dadah apabila dia ‘kantoi’ ketika sedang asyik mencuri kabel di Rumah Pam Loji Air Kampung Matang milik Syarikat Air Terengganu (Satu) dalam kejadian lebih kurang jam 4 petang Rabu lalu.

Kejadian disedari Penyelia Satu, Muhamad Mat Amin, 50 yang ketika itu tiba untuk membuat rondaan dan terkejut apabila terserempak dengan suspek yang masih berada di dalam rumah pam itu lalu menghubungi polis dan tangkapan dibuat pada jam lebih kurang 5.15 petang
hari sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Turut dirampas bersama suspek ialah tukul besi, gergaji, gunting pemotong dawai serta empat gulung dawai kabel yang telah dipotong dipercayai peralatan yang digunakan untuk mencuri.

“Suspek mencuri kabel sebagai jalan pintas untuk dia membeli dadah kerana tidak mempunyai wang dan pekerjaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu semalam.

Menurutnya, suspek dengan begitu mudah memasuki rumah pam itu walaupun berpagar kerana kawasan itu tidak disediakan pengawal keselamatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.