Pages

Tuesday, February 21, 2012

Keluar dari Syria sekarang


Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2012/02/21

Wisma Putra arah rakyat kita tinggalkan Damsyik, keadaan kian buruk

PUTRAJAYA: Kementerian Luar semalam mengingatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Syria supaya meninggalkan negara berkenaan atau berpindah ke pusat pengajian di luar negara bergolak itu berikutan tahap keselamatan yang semakin merosot.
Kementerian itu berkata penilaian menunjukkan situasi di negara berkenaan khususnya di Damsyik mungkin boleh menjadi lebih buruk berikutan berlaku beberapa insiden di bandar dan kampung di pinggir kota raya itu, baru-baru ini.
"Kedutaan ingin menekankan bahawa Nasihat Perjalanan/Keselamatan dikeluarkan pada 15 Februari 2012 supaya semua rakyat Malaysia termasuk pelajar keluar dari Syria dengan segera.

“Bagi mereka yang berhasrat melawat negara itu diminta menangguhkan perjalanan buat masa ini," kata Kedutaan Malaysia di Damsyik dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web Kementerian Luar, semalam.

Katanya, masih ramai pelajar yang menganggap situasi di Syria pada masa ini sebagai ‘keadaan sementara’ dan berupaya pulih ‘sekelip mata’ menyebabkan mereka tidak keluar dari negara terbabit walaupun pernah memaklumkan pihak kedutaan akan berbuat demikian sebelum ini.

“Kedutaan ingin memaklumkan bahawa bila dan di mana akan berlaku kekacauan dan keganasan adalah sukar dijangka tetapi bukti kukuh mulai kelihatan sejak September 2011 lagi yang mana tahap keselamatan berkecenderungan bertambah buruk.
“Sementara perkhidmatan penerbangan komersial masih ada, kedutaan menggesa supaya semua rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di sana menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke Malaysia atau berpindah ke tempat lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beberapa syarikat penerbangan yang singgah ke negara Asia Tenggara, khususnya Malaysia sudah mula melaksanakan sekatan ekonomi yang diluluskan oleh Liga Arab dengan mengurangkan frekuensi perkhidmatan dan menghentikan perkhidmatan ke Damsyik.

“Qatar Airways menghentikan perkhidmatannya minggu lalu, Gulf Air akan menghentikan perkhidmatannya ke Damsyik pada 2 Mac ini dan Saudi Air mengumumkan menghentikan perkhidmatan ke Damsyik mulai 18 Februari,” katanya.

Katanya, pelajar yang enggan meneruskan pengajian di Malaysia boleh juga meneruskan hasrat berbuat demikian di luar Syria seperti Jordan, Mesir dan mereka diminta berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Syria segera.

Berita Harian Online | Keluar dari Syria sekarang:

'via Blog this'

No comments: