Pages

Thursday, February 2, 2012

Harimau jadian

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Bukan saja haiwan liar tertipu, manusia juga tertipu. Itu yang berlaku kepada penduduk di Kampung Manjor, Kuala Krai apabila membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas melihat patung harimau yang disangka harimau sebenar.

Insiden melucukan itu berlaku apabila seorang penduduk di kampung berkenaan meletakkan dua patung harimau di kawasan rumah dan kebunnya dengan tujuan menghalau haiwan liar. Dalam kejadian Isnin lalu, sepasukan anggota Perhilitan yang mendapat laporan bergegas ke kampung berkenaan sebelum mendapati dua ekor harimau yang dilaporkan itu sebenarnya patung harimau sepanjang kira-kira 1.3 meter.


Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu daripada seorang penoreh getah yang datang ke pejabat Perhilitan di Kota Bharu memaklumkan ada penduduk di kampung berkenaan membela harimau.

Katanya, seramai 11 anggota Perhilitan dihantar ke kampung berkenaan pada jam 3 petang, hari yang sama dengan membawa beberapa kelengkapan termasuk senjata api, namun tidak menemui jejak harimau seperti dilaporkan.


“Kita melakukan pula siasatan di rumah milik Mohd Azari Said, 39, iaitu orang didakwa memelihara dua ekor harimau itu. Sebaik bertanyakan lelaki terbabit mengenai harimau yang dikatakan oleh penduduk kampung, dia mengaku mempunyai dua ekor harimau, yang mana seekor diletakkan di kebun untuk menghalau kera dan babi hutan manakala seekor lagi dijadikan mainan oleh anaknya.


“Ketika itu, barulah kita tahu yang kelibat harimau yang didakwa dilihat oleh penduduk hanyalah patung harimau yang banyak dijual di kedai,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu amat melucukan kerana sejak seminggu lalu ada penduduk yang melaporkan kepada Perhilitan bahawa Mohd Azari dan anaknya membawa salah seekor harimau itu ‘makan angin’ menggunakan motosikal.


“Lelaki terbabit mendakwa membeli setiap patung harimau itu dengan harga RM70 kerana tertarik dengan saiznya selain dikatakan berkesan bagi menghalau kera dan babi hutan.

“Walaupun tidak mengeluarkan sebarang bunyi seperti mengaum serta langsung tidak bergerak ia berkesan menghalau haiwan liar lain,” katanya.

No comments: