BANGKOK - Ratusan mangsa banjir di Thailand mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa dan beberapa pegawai kerajaan negara itu, termasuk Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Kes pertama dalam sejarah Thailand itu difailkan oleh Persekutuan Hentikan Pemanasan Global (SGWA) di Mahkamah Pentadbiran Pusat, Bangkok bagi pihak mangsa banjir, kelmarin.

Menurut Presiden SGWA, Srisuwan Janya, aduan akan difailkan terhadap 11 agensi dan pegawai kerajaan atas dakwaan kecuaian, lewat memberi bantuan dan perkhidmatan diperlukan serta melakukan perkara yang menyebabkan kemusnahan.

“Pembinaan tembok banjir di sekitar Bangkok turut memberi kesan buruk kepada penduduk yang terpaksa berhadapan banjir berpanjangan kerana air bertakung akibat tembok itu. Kerajaan, termasuk Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap perkara ini,” katanya.

Pertubuhan itu akan mewakili 350 orang mangsa banjir dalam kes pertama bagi menuntut pampasan wang tunai tidak kurang 100,000 baht (RM10,000), sebelum diikuti lebih banyak kes lain dalam tempoh terdekat.

Jutaan penduduk di Thailand menjadi mangsa banjir buruk yang melanda kebanyakan wilayah di negara itu, Julai lalu, dan berlarutan sehingga bulan ini.