Pages

Wednesday, December 21, 2011

Filipina isytihar bencana negara


ANGGOTA tentera laut Filipina mengangkut masuk keranda kosong untuk dihantar ke bandar Cagayan De Oro di Manila, semalam. - REUTERS 


ILIGAN 20 Dis. - Presiden Filipina, Benigno Aquino hari ini mengisytiharkan keadaan bencana negara selepas kira-kira 1,000 orang maut dan puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal dalam banjir kilat dan tanah runtuh berpunca daripada taufan Washi yang melanda selatan negara ini lewat minggu lalu.
Agensi bencana negara berkata, 957 orang terkorban manakala 49 lagi hilang, dengan kebanyakan mangsa di bandar-bandar Cagayan de Oro dan Iligan di Pulau Mindanao.
Aquino bermesyuarat dengan para pegawai di kedua-dua bandar yang paling teruk dilanda bencana pada awal pagi Sabtu lalu, apabila air, lumpur dan batang pokok yang menuruni lereng gunung meranapkan kampung-kampung di tepi sungai dan pantai ketika penduduk sedang tidur.
"Keutamaan sekarang ialah memindahkan penduduk ke kawasan yang tidak lagi berbahaya kepada mereka," kata Aquino yang berjanji akan mengambil tindakan untuk mencegah tragedi sedemikian daripada berulang, pada mesyuarat di Cagayan de Oro.
Menurut agensi bencana, lebih 338,000 penduduk di 13 wilayah terjejas akibat malapetaka itu, dengan hampir 43,000 daripadanya masih berlindung di pusat penempatan sementara.
Lebih 10,000 rumah rosak dilanda Taufan Washi dan banjir kilat, satu pertiga daripadanya tidak dapat diperbaiki lagi, sementara banyak sekolah, jalan dan jambatan turut rosak teruk.
Jurucakap Aquino, Ricky Carandang berkata, perisytiharan keadaan bencana negara itu akan membolehkan kerajaan menggunakan dana lebih besar untuk tujuan bantuan dan pemulihan.
Pihak berkuasa di Cagayan de Oro dan Iligan sedang giat berusaha untuk mencegah penyakit daripada merebak di pusat penempatan yang penuh sesak dan sudah mula menggali kubur bagi mengebumikan mayat yang reput.
Seorang pegawai daripada pertubuhan bantuan dan pembangunan Britain, World Vision berkata, mangsa berebut-rebut untuk mendapatkan ruang di pusat penempatan sementara.
"Keadaan benar-benar sesak, boleh dikatakan tidak ada ruang antara mangsa dan penyakit mula muncul, selain terdapat masalah kekurangan air dan makanan," kata John Salva kepadaANC Television. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: