Pages

Wednesday, November 9, 2011

Isteri ke-20 lega Shah Bunga akhirnya ditahan polis


KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sebagai seorang wanita yang pernah menjadi isteri dan dipaksa melacur oleh lelaki bergelar Shah Bunga, Mimi (bukan nama sebenar) bersyukur apabila lelaki yang banyak menganiaya wanita itu ditahan polis kerana tindakan kejam yang dilakukan.

Dengan penangkapan Shah Bunga pada Rabu lalu, Mimi, 36, yang mempunyai seorang anak hasil hubungan sulitnya dengan suspek menganggap dia kini bebas daripada ketakutan dan tidak akan bertemu dengan lelaki terbabit lagi.

Mimi bercerita, dia mula mengenali Shah Bunga yang berusia 32 tahun pada 2007 dan sejak itu, dia telah ditiduri lelaki terbabit sehingga melahirkan seorang anak.

Menurutnya, selepas berkahwin, hidupnya berubah menjadi seorang pelacur kerana dipaksa oleh Shah Bunga dan jika enggan, dia akan dipukul tanpa belas kasihan.

"Penampar, sepak terajang, tumbuk sehingga berdarah menjadi perkara biasa bagi saya kalau tidak melacur demi mendapatkan wang untuknya (Shah Bunga).

"Tetapi selepas setahun, saya bernasib baik apabila Shah Bunga ditahan polis kerana dipercayai membunuh seorang lelaki di Lorong Petani, Alor Setar pada 2008.

"Selepas itu saya dapat meninggalkan Lorong Petani yang merupakan lokasi pelacuran dan bekerja sebagai pembantu kedai makan sehingga kini bagi menyara anak," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, dia tidak menyangka kerjasama Utusan Malaysia dengan polis dapat menghapuskan tindakan Shah Bunga yang sering memaksa wanita melacur demi kepentingan diri sendiri.

"Ketika Shah Bunga memaksa saya menjadi pelacur, dia hanya memberikan sedikit daripada hasil pelacuran untuk saya makan bersama anak manakala bakinya digunakan lelaki itu untuk minum arak dan berjudi.

"Bagi saya lelaki seperti ini tidak boleh hidup bebas kerana dia akan menyeksa kehidupan gadis dan wanita lain dengan memaksa menjadi pelacur selepas ini," ujarnya.

Tambahnya, dia bersedia untuk memberi maklumat kepada polis jika pihak berkuasa memerlukan kerjasama.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments: