Pages

Wednesday, November 9, 2011

Banjir di Bangkok diramal berlanjutan selama sebulan


BANGKOK - Menteri Tenaga Thailand, Pichai Naripthaphan menyatakan banjir yang melanda bandar raya ini akan berterusan selama sebulan lagi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas pihak berkuasa menasihati penduduk di utara bandar raya ini supaya berpindah kelmarin ekoran banjir yang semakin menghampiri pusat bandar raya.

Pichai bagaimanapun memberitahu, banjir dijangka beransur surut menjelang pertengahan bulan ini.

Semalam, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mengumumkan bahawa beliau tidak akan menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu ini ekoran krisis banjir yang melanda ibu kota Thailand tersebut.

"Inilah masa untuk semua rakyat Thai saling membantu, justeru saya memberitahu hos sidang berkenaan bahawa saya tidak dapat hadir," kata Yingluck.

Walaupun kerajaan Thailand memberitahu bahawa bandar raya ini akan terselamat daripada banjir, keadaan sebaliknya berlaku apabila semakin banyak kawasan penduduk ditenggelami air pada setiap hari. Air bah kini 'mengepung' stesen-stesen kereta api di utara bandar raya ini dengan lokasi tersebut akan ditutup dalam masa beberapa hari lagi jika situasi menjadi semakin buruk.

Setakat ini, penduduk di 12 daripada 50 daerah di Bangkok telah diarahkan berpindah. Penduduk di daerah Klong Sam Wa diarah supaya berpindah kelmarin.

Banjir yang melanda bahagian utara Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 527 orang setakat ini dengan kebanyakan mangsa maut akibat lemas.

Kerugian akibat bencana alam tersebut pula dianggarkan mencecah berbilion-bilion dolar AS. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: