Pages

Monday, November 21, 2011

Hadiah penumbuk



RAJAGOPAL menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas dia ditumbuk pada sidang akhbar di Selayang, semalam.


KUALA LUMPUR – Kedatangan seorang lelaki ke sebuah premis pasukan penyelamat untuk berbincang mengenai tunggakan hutang kad kredit melibatkan seorang anggota pasukan itu ternyata sia-sia apabila dia bukan sahaja gagal berbuat demikian malah ‘dihadiahkan’ penumbuk hingga hidungnya patah.

M. Rajagopal, 27, mendakwa kejadian tersebut berlaku pada pukul 4 petang 15 November lalu selepas dia diarahkan oleh majikannya untuk berjumpa anggota berkenaan yang gagal dihubungi di kawasan Selayang, Gombak.

Dakwanya, sebaik memasuki premis itu bersendirian, dia kemudian terus diajak untuk masuk ke dalam sebuah bilik oleh anggota berkenaan untuk ‘berbincang’.

“Saya datang untuk berbincang mengenai hutang yang telah tiga bulan tidak dijelaskan sebelum dia tiba-tiba meninggikan suara. Di dalam bilik itu turut ada lima lagi rakannya.

“Dia kemudian mengambil sebiji batu di dalam bilik itu dan cuba hendak membaling saya. Saya yang risau dan cemas dengan keadaan itu cuba keluar tetapi dihalang oleh lima rakannya,” ceritanya ketika ditemui di Selayang dekat sini semalam.

Rajagopal mendakwa, anggota itu kemudian menarik bajunya sebelum ditumbuk di muka menyebabkan dia pengsan sebelum dia dibawa ke hospital oleh rakan-rakan anggota berkenaan.

Katanya, ekoran kejadian itu, mukanya lebam dan batang hidungnya patah hingga memaksanya menjalani pembedahan. Dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim mengesahkan laporan tersebut dan pihaknya masih menyiasat dakwaan mangsa.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: