Pages

Monday, November 21, 2011

Bashar al-Assad tidak akan tunduk


LONDON 20 Nov. - Presiden Bashar al-Assad menegaskan Syria tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung tindakan kerasnya terhadap penunjuk perasaan.

Assad memberitahu akhbar mingguan Britain, The Sunday Times, beliau sudah bersiap sedia menentang dan mati untuk Syria jika berdepan dengan campur tangan asing.

Menurut pemimpin Syria itu, beliau turut sedih melihat setiap titisan darah rakyatnya, tetapi bertegas Damsyik perlu mematahkan geng pemberontakan bersenjata dan menguatkuasakan undang-undang.

"Konflik ini akan berterusan dan tekanan untuk menguasai Syria juga tidak akan berhenti. Saya tegaskan kami tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan luar," katanya.

Beliau turut menuduh Liga Arab yang sebelum ini memberi tempoh masa kepada Syria untuk menamatkan keganasan, mencipta helah bagi membolehkan campur tangan tentera Barat yang akan mencetuskan 'gempa bumi' di seluruh Asia Barat.

"Secara logik dan rasionalnya, mereka tidak akan melakukannya kerana kesannya amat buruk. Campur tangan tentera akan menyahstabilkan keseluruhan rantau ini dan semua negara akan terjejas," ujar Assad dalam wawancara di Istana Tishreen di Damsyik.

Assad berkata, penyelesaian kepada keganasan yang dikatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengorbankan lebih 3,500 orang sejak pertengahan Mac lalu itu bukanlah dengan mengundurkan tenteranya.

"Satu-satunya cara ialah memburu geng bersenjata, menyekat kemasukan senjata dari negara jiran, menghalang sabotaj dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan,'' ujarnya.

Tempoh masa yang diberikan oleh Liga Arab telah tamat pada pukul 2200 GMT semalam (6 pagi hari ini waktu Malaysia), tetapi Assad tidak mengendahkannya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: