Pages

Tuesday, November 15, 2011

Bapa nekad ekori penculik

Berita Harian Online | Bapa nekad ekori penculik: Kes Nurin dorong cari warga Kemboja cuba larikan anak

KUALA LUMPUR: “Saya tak boleh tengok orang buat benda tak elok, kalau ada kes ragut depan mata pun saya akan cuba tangkap (penjenayah), apa lagi berlaku pada anak sendiri... itu yang mendorong saya mencari lelaki itu sampai dapat, sebelum menghubungi polis,” kata Saifuddin Abu Samah, 37.
Keberanian Saifuddin mencari dan mengekori lelaki warga Kemboja yang didakwa cuba melarikan anak perempuannya, Nurfarihah, 6, sejauh dua kilometer termasuk nekad menyeberangi Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Taman Melati Utama di sini, malam Sabtu lalu, membolehkan suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.
Saifuddin, pengurus projek sebuah syarikat telekomunikasi berkata, jika kejadian yang hampir menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu berlaku pada kanak-kanak lain, beliau tetap mengambil tindakan sama.

“Saya tak boleh tengok benda tak elok, apa lagi kes membabitkan kanak-kanak.
Sekarang ini banyak kes jenayah dilaporkan dan kalau berlaku depan mata saya, takkan saya tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, lelaki warga Kemboja terbabit dikatakan menghulur kedua-dua tangan dan cuba menerkam Nurfariha ketika kanak-kanak berkenaan sedang berjalan bersama ibunya, Rohani Abd Raof, 37, selepas makan malam di sebuah restoran di Taman Melati Utama.
Suspek bagaimanapun melarikan diri selepas mendengar jeritan ibu mangsa memanggil anaknya sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada suaminya yang kemudian mencari dan mengekori lelaki terbabit sebelum ditangkap anggota polis.

Saifuddin berkata, pengalamannya yang pernah bersama-sama bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, mencari kanak-kanak mangsa pembunuhan kejam itu ketika kehilangannya beberapa tahun lalu, membuatkan beliau sentiasa mengambil langkah berhati-hati.

“Saya mengenali Jazimin kerana pernah bersekolah bersama, saya memahami perasaan beliau ketika itu dan beliau sendiri pernah menasihatkan saya supaya sentiasa memastikan keselamatan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi berkata, suspek berusia 33 tahun itu sudah dibebaskan selepas siasatan mendapati tiada elemen culik dalam kes berkenaan.

Katanya, lelaki warga Kemboja yang juga pekerja binaan itu juga didapati tidak melakukan sebarang sentuhan fizikal terhadap kanak-kanak terbabit selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah

'via Blog this'

No comments: