Pages

Thursday, November 24, 2011

Aku bakar! Aku bakar!

JITRA: Seorang lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan petrol dan diesel bertindak mengugut pihak berkuasa dengan menyalakan pemetik api bertujuan meletupkan kawasan stor haram menyimpan bahan bakar berkenaan di Changlun, dekat sini, ketika kawasan itu diserbu sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki terbabit yang berusia 30-an bersama tiga rakannya berusia 20-an dan 40-an itu turut bergelut bersama anggota penguat kuasa KPDNKK Putrajaya itu bagi menghalang mereka membuat pemeriksaan. Bagaimanapun, cubaan suspek mahu meletupkan tempat simpanan minyak itu dapat digagalkan anggota KPDNKK terbabit diketuai Mohamad Hashim dari Unit Kawalan Petroleum, KPDNKK Putrajaya apabila menahan keempat-empatnya dengan bantuan anggota KPDNKK Kedah dan lima anggota polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam.


Difahamkan, suspek bertindak untuk membakar seluruh kawasan itu bagi mengelakkan kegiatan sindiket itu terbongkar.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata, hasil pemeriksaan mendapati stor simpanan minyak itu dibina secara haram kerana tidak memiliki lesen.


“Hasil pemeriksaan juga menemui 2,300 liter diesel dan 3,400 liter petrol dalam tangki minyak di stor berkenaan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.


“Kita juga dapati tiga kenderaan iaitu sebuah trak pikap Toyota Hilux dan dua kereta tempatan sedang mengisi minyak ke dalam kenderaan masing-masing untuk diseludup ke negara jiran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Suhaimi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap pemilik stor itu dan berdasarkan rekod, stor berkenaan pernah diserbu empat kali sebelum ini, namun mereka tetap tidak serik dan menjalankan kegiatan penyeludupan untuk mengaut keuntungan.


“Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk membantu siasatan, manakala semua barangan dalam stor itu termasuk minyak dan kenderaan dianggarkan bernilai RM100,000 dirampas untuk membantu siasatan,” katanya.

myMetro | Aku bakar! Aku bakar!:

'via Blog this'

No comments: