Pages

Thursday, October 27, 2011

Banjir sekitar Bangkok semakin buruk





2011/10/27

PESAWAT penerbangan Thailand, Thai Airways terpaksa menghentikan operasi di Lapangan Terbang Don Muang berikutan landasan dinaiki air.
PESAWAT penerbangan Thailand, Thai Airways terpaksa menghentikan operasi di Lapangan Terbang Don Muang berikutan landasan dinaiki air.
Lapangan terbang Don Muang ditenggelami air, mangsa dapat perlindungan kena pindah

BANGKOK: Banjir dilaporkan menghampiri terminal di Lapangan Terbang Don Muang, lapangan terbang kedua terbesar di ibu negara Thailand semalam memaksa mereka yang mendapatkan perlindungan di situ berpindah berikutan amaran beberapa bahagian Bangkok mungkin ditenggelami air sedalam 1.5 meter. 

Banjir di lapangan terbang itu yang digunakan untuk penerbangan domestik, adalah tamparan kepada kerajaan dalam usaha menghalang Bangkok daripada tenggelam akibat banjir. Penutupannya semakin mengurangkan keyakinan umum terhadap keupayaan pentadbiran Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra untuk mempertahankan bandar raya yang didiami sembilan juta penduduk itu.
Sehingga pagi semalam, lebih 1,000 orang yang berlindung di sana terpaksa berpindah berikutan air terus memenuhi sekitar terminal.
Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, pintu masuk antarabangsa utama belum lagi terjejas dengan banjir dan penerbangan masih beroperasi seperti biasa. Kebanyakan kawasan di bandar raya itu belum terjejas dengan banjir, walaupun air botol minuman dan bekalan kecemasan lain dilaporkan berkurangan. 

Kerajaan Yingluck mengisytiharkan cuti umum selama lima hari Selasa lalu di kawasan terjejas termasuk Bangkok manakala Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah ditutup sehingga 7 November. Gabenor Bangkok, Sukhum-bhand Paribatra meminta mereka yang tidak perlu berada di bandar raya itu supaya keluar dan meninggalkannya Bangkok. 

Perdana menteri dalam satu ucapan disiarkan televisyen Selasa lalu memberi amaran tekanan banjir akan menolak hiliran ke dalam bandar yang bergabung dengan air pasang surut bulanan tinggi pada hari Jumaat dan Sabtu boleh menjejaskan dinding banjir diperkukuh dan benteng yang melindungi bandar raya itu. 

“Ia boleh mengakibatkan banjir sehingga 1.5 meter di kawasan rendah di bandar raya itu,” katanya. 
Sukhumbhand berkata ibu negara itu tidak dapat mengelak daripada banjir dan memberi amaran kepada penduduknya di sebanyak 13 daerah di Sungai Chao Phraya, sungai terbesar di bandar raya itu supaya bersiap sedia. 

Banjir di Lapangan Terbang Don Muang menjadi simbol bahawa negara Asia Tenggara itu berhadapan dengan krisis semakin teruk, yang menyaksikan satu pertiga daripada negara itu sudah ditenggelami banjir dan membunuh 373 penduduk sejak tiga bulan lalu. 

Lapangan terbang itu juga turut menempatkan pusat operasi bantuan banjir kerajaan dan satu daripada terminalnya diubah suai kepada pusat perlindungan menempatkan 4,000 penduduk yang men-cari perlindungan. 

Seorang pekerja kerajaan yang berlindung di sana sejak tiga minggu lalu Somboon Klinchanhom, 43, bersiap sedia untuk berpindah pada Selasa selepas kerajaan berkata terminal itu mungkin menjadi terlalu sesak. 

“Saya sangkakan ia akan selamat dan dilindungi,” kata Somboon mengenai lapangan terbang itu sambil mengemaskan barangan miliknya semula. 

Pusat banjir kerajaan tetap berada di lapangan terbang terbabit setakat ini berikutan ia mudah dihubungi oleh jalan raya, kata jurucakap Wim Rungwattanajinda. – AP 

No comments: