Pages

Monday, October 24, 2011

Banjir makin buruk

BANGKOK: Pihak berkuasa bandar raya ini semalam bertungkus lumus untuk mengelak dua kawasan perindustrian daripada ditenggelami banjir selepas paras air semakin meningkat di utara kota itu.

Pihak berkuasa mengambil langkah melencongkan laluan air memasuki Bangkok dengan mengalirkannya masuk ke Teluk Thailand.

Namun keadaan masih membimbangkan kerana kemungkinan hujan lebat akan menyebabkan air di terusan dan sungai melimpah.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berkata, pihak berkuasa mengambil semua langkah untuk mengalirkan air keluar dari Bangkok tetapi masa terlalu suntuk.


“Air mengalir masuk dari banyak arah. Kami cuba membina tembok tetapi ia tetap tidak memberi kesan,” kata Yingluck kepada wartawan.


Menurutnya, air pasang di Teluk Thailand akhir minggu ini, mungkin akan menyukarkan lagi keadaan.

Ia adalah banjir terburuk pernah melanda Thailand sejak 50 tahun lalu. Hampir 2.5 juta rakyat dan 28 daripada 77 wilayah negara itu terjejas akibat air yang naik di kawasan sebesar negara Kuwait.

Pihak berkuasa berkata, keadaan itu mungkin berterusan selama enam minggu sebelum air surut.

Sejak akhir Julai lalu, sejumlah 356 orang terbunuh dan kira-kira 113,000 yang lain terpaksa berpindah di 1,700 khemah perlindungan.

Keadaan paling teruk ialah di wilayah tengah dan mereka yang tinggal agak jauh dari bandar Bangkok apabila air naik setinggi tiga meter menyebabkan kenderaan tenggelam dan penduduk terperangkap. - AFP

myMetro | Banjir makin buruk:

'via Blog this'

No comments: