Pages

Saturday, August 20, 2011

Saham milik firma Bono U2 dalam Facebook bernilai RM2.91 bilion

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Pada tahun lalu, penyanyi kumpulan U2, Bono dilabel sebagai pelabur paling teruk di AS oleh sebuah laman blog kewangan, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bagaimanapun, nasib Bono, 51, kini berubah selepas sahamnya dalam syarikat laman jaringan sosial Facebook memperoleh keuntungan empat kali ganda kepada hampir AS$1 bilion (RM2.98 bilion).
Firma pelaburan penyanyi kelahiran Ireland itu, Elevation Partners melabur AS$210 juta (RM627.38 juta) dalam laman web Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada November 2009.
Namun, selepas seorang lagi pelabur menjual sahamnya dalam Facebook sekali gus meningkatkan harga saham laman sosial berkenaan, nilai pegangan Elevation melonjak kepada sekitar AS$975 juta (RM2.91 bilion) atau sebanyak 400 peratus.
Saham Facebook tidak dijual di pasaran awam tetapi diniagakan di Sharepost iaitu pasaran saham sekunder yang membolehkan pemegang saham menjual saham mereka sebelum sesebuah syarikat disenaraikan dalam bursa saham.
Perkembangan tersebut menyebabkan blog yang menggelarkan Bono sebagai pelabur paling teruk terpaksa mencari orang lain untuk memindahkan gelaran itu. Namun, sebelum ini gelaran yang diberikan kepada Bono itu ada justifikasinya.
Elevation yang dinamakan sempena lagu U2 diasaskan pada 2004 oleh bekas ketua pegawai kewangan firma Apple, Fred Anderson dan Roger McNamee iaitu pengasas bersama syarikat Silver Lake Partners yang pernah melabur dalam pengeluar perisian telefon Internet, Skype.
Bono menjadi rakan kongsi Elevation pada 2004, tidak lama selepas ia ditubuhkan, namun syarikat itu memiliki reputasi buruk kerana kerap melakukan pelaburan yang mendatangkan kerugian.
Antara pelaburan paling teruk pernah dibuat oleh Elevation ialah pada 2006 apabila ia melabur dalam syarikat Forbes Media yang memiliki majalah kewangan terkenal, Forbes.
Forbes Media dinilaikan pada AS$750 juta (RM2.23 bilion) ketika Elevation menyuntik dana sekitar AS$300 juta (RM895 juta) ke dalam syarikat media itu.
Namun, tidak lama kemudian Forbes Media terpaksa memberhentikan ramai kakitangannya, membekukan pelan pencen syarikat manakala sektor majalah turut mengalami kerugian. - Agensi, kosmo

No comments: