Pages

Saturday, August 20, 2011

Kabul digegar lima letupan, 8 terbunuh




ASAP masih berkepul-kepul daripada pejabat British Council yang rosak dalam serangan bom di Kabul, semalam. - REUTERS


KABUL 19 Ogos - Sekurang-kurangnya lapan terbunuh ketika gelombang serangan berani mati menggegarkan pusat budaya Britain di Kabul, sempena Hari Kemerdekaan Afghanistan, hari ini.
Lima letupan yang didakwa dilakukan Taliban, menggegarkan pejabat Konsul Britain di Kabul selepas dihujani tembakan senjata berat sejak awal pagi yang berlarutan selama empat jam.
Majlis Konsul Britain ialah pertubuhan rasmi yang dibiayai oleh London bagi mempromosi hubungan budaya di seluruh dunia.
"Lapan orang terbunuh, kebanyakannya anggota polis dan 10 lagi cedera.
"Terdapat seorang lagi penyerang masih meneruskan serangan dan kawasan itu belum lagi selamat," kata jurucakap Kementerian dalam Negeri, Siddiq Sissiqui.
Jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai sebelum ini memberitahu bahawa mangsa yang terbunuh termasuk dua anggota polis dan dua pekerja pembersih jalan yang bekerja berhampiran tempat kejadian.
Kedutaan Britain dan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mengetuai Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di Afghanistan turut mengesahkan kejadian itu.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, yang dihubungi oleh AFP, mendakwa mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan itu sebagai memperingati Hari Kemerdekaan Afghanistan dari Britain pada 1919.
Menurutnya, sasaran serangan ialah Konsul Britain dan rumah tetamu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi jurucakap Misi Bantuan PBB di Afghanistan, Dan McNorton menafikan kawasannya terlibat. - AFP, utusan

No comments: