Pages

Friday, August 26, 2011

Pelajar, pemandu lori maut



IPOH – Seorang pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut selepas dilanggar sebuah treler ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Bangkong, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan pada jam 9.10 pagi itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Kuala Dipang- Malim Nawar.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Noor Habibullah, 15, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang menunggang motosikal di lorong kanan dikatakan hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta yang melalui jalan sama dan terbabas ke bahagian kiri jalan. Pada masa sama, treler yang melalui lorong kiri telah menggilis mangsa.

“Orang awam yang melihat kejadian kemudiannya menghubungi polis dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pemandu lori terbunuh selepas merempuh sebuah jengkaut dalam kejadian di sebuah kilang kuari di Kampung Gunung Pasir, Kampar, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 6.45 petang mengakibatkan mangsa, Mohd Azlan Shah Meor Yakob, 26, mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Changkat Lenggong, Gopeng memandu lori menuju ke bengkel di kilang berkenaan dikatakan merempuh jengkaut di hadapannya setelah salah satu tayarnya meletup.

“Kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Aziz menasihatkan ibu bapa lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak berdasarkan peruntukan undang-undang jalan raya.

“Pada musim perayaan ini, keselamatan ahli keluarga penting terutama kepada anak-anak yang tidak mempunyai lesen ketika menunggang motosikal,” katanya.SH

No comments: