Pages

Friday, August 26, 2011

Empat remaja terbunuh


MAYAT mangsa di samping kereta Perodua Kancil yang terbabit nahas 
 di Kilometer 26, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Serkam, awal pagi semalam.
MAYAT mangsa di samping kereta Perodua Kancil yang terbabit nahas di Kilometer 26, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Serkam, awal pagi semalam.

Mangsa baru pulang membeli-belah baju raya

JASIN: Empat remaja, termasuk dua yang dalam perjalanan pulang selepas membeli baju raya, maut dalam dua kemalangan berasingan di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini dan simpang tiga Jalan Kampung Kempadang, Kuantan, awal pagi semalam dan malam kelmarin.
Kejadian di Kilometer 26, Lebuh Raya AMJ membabitkan tiga kereta berlaku jam 3.20 pagi ketika Mohammad Izuan Abdul Majid dan Farah Nabila Sa-zali, masing-masing 21 tahun menaiki Perodua Kancil, dalam perjalanan pulang ke Merlimau selepas membeli belah di bandar Melaka.
Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata kenderaan mangsa dirempuh dari belakang oleh Proton Wira yang dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan.

Pada masa sama, sebuah kereta Ford juga dipercayai dipandu laju juga merempuh kereta mangsa.

“Akibat rempuhan itu, Mohammad Izuan Abdul Majid dan Farah Nabila mati di tempat kejadian.

“Pemandu Proton Wira dan Ford bersama seorang lagi penumpangnya yang identiti mereka belum dikenal pasti, parah dan dimasukkan ke Hospital Muar,” katanya di sini, semalam.
Mohammad Izuan berasal dari Taman Mahkota 1, Mersing, Johor, manakala Farah Nabila dari Parit Raja, Johor dan masih menuntut di Politeknik Merlimau.

Pemeriksaan ke atas Perodua Kancil yang dinaiki Mohammad Izuan dan Farah Nabila, polis menemui beberapa helai pakaian termasuk seluar yang baru dibeli mereka, dipercayai untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.

Di KUANTAN: Dua penunggang motosikal maut, manakala dua pembonceng cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di simpang tiga Jalan Kampung Kempadang.

Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Ridzuan Ismail, 21, dari Kampung Kempadang, dan Muhamad Nur’aiman Arshad, 16, dari Batu 4 Kampung Razali, manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Nurazzudin Shaudi, 15, dari Kampung Kempadang yang membonceng motosikal Mohd Ridzuan dan Nur Hidayah Che Hassan, 14, dari Perumahan Peramu Jaya yang membonceng bersama Muhamad Nur’aiman. bharian

No comments: