Pages

Friday, August 12, 2011

Maut kereta dirempuh kereta api


Kenderaan Choo Cheng Ping selepas dilanggar kereta api penumpang di Kilometer 59.9 berhampiran Kampung Jalan Stesen, Alor Pongsu, Perak, semalam.

BAGAN SERAI 11 Ogos - Seorang peniaga barangan runcit, Choo Cheng Ping, 46, maut selepas kenderaan dinaikinya dirempuh kereta api penumpang di Kilometer 59.9, berhampiran Kampung Jalan Stesen, Alor Pongsu, semalam.
Kejadian pukul 3.30 petang itu menyebabkan kereta Toyota Unser yang dinaiki mangsa tercampak sejauh 15 meter dari tempat kejadian.
Cheng Ping yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar oleh orang ramai namun meninggal dunia pukul 9 malam tadi di Hospital Taiping.
Seorang saksi memberitahu, mangsa dilihat tidak sempat memberhentikan kenderaannya ketika menghampiri landasan menyebabkan dia dirempuh kereta api penumpang yang ketika itu dalam perjalanan ke selatan.
Selepas pelanggaran tersebut, pemandu kereta api sempat memberhentikan kenderaannya dan menghubungi kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendapatkan bantuan sebelum meneruskan kembali perjalanan ke selatan.
Tinjuan Utusan Malaysia mendapati kawasan melintas tersebut tidak dilengkapi sistem lampu isyarat dan pagar keselamatan.
Sementara itu, jiran mangsa, Ah Chan memberitahu, laluan berkenaan merupakan laluan harian Cheng Ping menghantar barang perniagaan ke kedai-kedai runcit sekitar kawasan berkenaan.
"Jalan ini memang dilalui oleh mangsa setiap hari tetapi entah bagaimana hari ini nasibnya tidak baik," katanya.
Ketua Kampung Parit Haji Ali, Mat Nor Mat Isa berkata, ini merupakan kejadian pertama tahun ini selepas dua kejadian pada tahun lalu.
"Saya sering meminta penduduk kampung agar lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mohd. Fauzi Nayan mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut namun punca kejadian masih dalam siasatan.-utusan

No comments: