Pages

Wednesday, August 10, 2011

2 saksi bantah kehadiran Anwar



KUALA LUMPUR - Temu bual terhadap dua saksi bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicara, dibatalkan selepas kedua-dua mereka membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu.
Peguam S. N. Nair yang mewakili Anwar ketika dihubungi berkata, anak guamnya berhak untuk hadir semasa temu bual dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof yang diadakan di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini semalam.
Beliau berkata, memandangkan kedua-dua saksi membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan hari ini untuk bertemu pasukan pendakwaan dan pembelaan.
Ditanya sama ada pihak pendakwaan telah mengatur untuk menemu bual saksi yang lain, Nair berkata, pendakwaan belum memberi maklumat mengenainya kepada pembelaan setakat ini.
Kepada soalan sama ada Musa dan Rodwan datang ke mahkamah bersama peguam mereka, Nair menjawab: 'Tidak'.
Semalam, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Musa, Rodwan serta 11 orang lagi dan menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan.
Mahkamah pada mulanya menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama memberi keterangan.
Pada akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah.
Pihak pembelaan pula memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual iaitu bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr. Mohd. Osman Abd Hamid (sebelum ini bertugas di Pusat Rawatan Islam), Saidaiti Azlan (adik perempuan bongsu Mohd. Saiful Bukhari Azlan), seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Dr. Daniel dan pembantu khas Najib ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.
Pada 16 Mei lalu, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful iaitu pengadu dalam kes itu adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun yang sama. - Bernama-kosmo

No comments: