Pages

Saturday, July 16, 2011

Wanita terselamat kereta terbalik



Orang ramai melihat keadaan kereta Proton Saga terbalik setelah terhumban ke dalam parit di Kampung Gong Penaga Jabi, Besut, semalam.


BESUT 15 Julai - Seorang wanita terselamat walaupun kereta jenis Proton Saga yang dipandunya terhumban dan terbalik ke dalam parit di Kampung Gong Penaga Jabi dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi ketika mangsa, Che Esah Che Hassan, 58, dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu untuk pulang ke rumahnya di Rantau Panjang, Kelantan.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta dipandu mangsa berada di belakang sebuah kereta jenis Proton Wira yang mengekori sebuah lori bergerak perlahan dari arah sama.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian yang jalannya sedang dinaik taraf, kedua-dua kereta serentak cuba untuk memotong lori menyebabkan kereta mangsa terlanggar bahagian kanan kereta Proton Wira itu.

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum terhumban ke dalam parit di sebelah kanan jalan dengan keempat-empat tayarnya ke atas manakala kereta Proton Wira hanya mengalami kerosakan di bahagian pintu kanan.

Che Esah memberitahu, dia kemudian keluar dari kereta yang terbalik itu melalui pintu belakang dan bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan.

Utusan Malaysia Online - Timur

No comments: