Pages

Friday, July 15, 2011

Libya tuduh Nato bunuh lebih 1,000 rakyat biasa

Duta Khas Russia: Gaddafi akan letupkan Tripoli jika jatuh ke tangan pemberontak
ASABAH (Libya): Pemerintah Libya menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) membunuh lebih 1,100 rakyat biasa, sedang konflik di negara itu berterusan.

Dalam pada itu, duta khas Russia ke Libya, Encik Mikhail Margelov, berkata beliau percaya pemimpin negara itu, Encik Muammar Gaddafi, mempunyai 'rancangan maut' meletupkan Tripoli jika ia jatuh ke tangan pemberontak.

'Perdana Menteri Libya memberitahu saya: Jika para pemberontak merampas bandar itu, kami akan penuhinya dengan misil dan meletupkannya.

'Saya dapat bayangkan bahawa Gaddafi mempunyai rancangan maut serupa ini,' kata Encik Margelov dalam wawancara yang disiarkan akhbar Russia, Izvestia, semalam.

Encik Margelov telah bertemu dengan Perdana Menteri Libya, Encik Baghdadi al-Mahmudi, pada 16 Jun lalu di Tripoli.

Encik Margelov percaya Encik Gaddafi mempunyai banyak lagi bekalan letupan dan misil.

Kelmarin, para pemberontak telah menawan bandar Gualish, yang akan dijadikan tapak pelancaran bagi serangan mereka ke atas Tripoli.

Sementara itu, rejim Libya mengumumkan akan mendakwa ketua Nato, Encik Anders Fogh Rasmussen, di mahkamah Libya atas tuduhan 'jenayah perang' ekoran serangan udara pakatan itu.

'Sebagai Setiauasah Agung Nato, Encik Rasmussen bertanggungjawab atas tindakan yang diambil pakatan ini.

'Ia telah menyerang golongan yang tidak bersenjata - membunuh 1,108 rakyat biasa dan mencederakan 4,537 yang lain, dalam serangan ke atas Tripoli dan bandar serta kampung lain,' kata pegawai pendakwa raya Libya, Encik Mohamed Zekri Mahjubi.

Selain jenayah perang, Encik Mahjubi turut menuduh Encik Rasmussen cuba membunuh Encik Gaddafi, 'sengaja menyerang orang awam yang tidak bersalah' dan 'membunuh kanak-kanak.'

Encik Rasmussen dituduh cuba menjatuhkan rejim Libya dan menggantikannya dengan pasukan pemberontak bagi mengaup segala kekayaan minyak negara itu.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, telah berlepas dari Washington ke Turkey semalam bagi memulakan lawatan diplomatik bagi membincangkan isu Libya.

Beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat di Turkey, yang bakal dihadiri oleh wakil dari lebih 40 negara yang menyokong operasi Nato bagi melindungi orang awam Libya.

Mesyuarat Kumpulan Kontak bagi Libya itu, antara lain, akan meneroka usaha meningkatkan tekanan ke atas Encik Gaddafi agar beliau meletak jawatan.

Ia juga akan meninjau usaha memberi sokongan dana kepada Majlis Kebangsaan Peralihan. -- AP, AFP, Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: