Pages

Friday, July 15, 2011

Guna anjing untuk kesan mayat di Ladang Gadong


PATHMANABHAN (empat dari kiri) bersama tiga pekerjanya diiring untuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis telah menggunakan khidmat dua ekor anjing terlatih (K9) untuk mengesan mayat semasa menjalankan siasatan di Ladang Gadong, Banting iaitu tempat yang menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.
Saksi pendakwaan ke-27, Supritendan Denis Leong Sung Kuai, 49, dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata, haiwan itu digunakan selepas pasukannya gagal menemui kesemua mangsa di ladang itu pada 9 September 2010.
"Selepas kami gagal temui mangsa-mangsa, kami gunakan khidmat cadaver dogs iaitu anjing yang dilatih untuk mengesan bau mayat di kawasan ladang itu.
"Apabila pengendali anjing melihat reaksi anjing seperti menghidu sesuatu, kami mula menggali. Bagaimanapun kami tidak menemui mayat atau tulang manusia pada masa itu," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.
Sung Kuai dipanggil bagi memberi keterangan pada hari kesembilan perbicaraan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31.
Keempat-empat mereka didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos 2010.
Kosmo! Online - Negara

No comments: