Pages

Saturday, June 11, 2011

Tiada unsur jenayah


Bapa Mohammad Tawfiq, Noorzan Abdul Rahim, 47

KANGAR: Mahkamah Koroner, di sini yang mendengar prosiding inkues sejak 15 bulan lalu berhubung kematian Mohammad Tawfiq Noorzan, 22, yang ditembak anggota polis, semalam memutuskan tindakan polis menembak peniaga berkenaan adalah wajar.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim, ketika membaca keputusan terbabit, berkata tidak wujud sebarang unsur jenayah dan kecuaian terhadap kematian Mohammad Tawfiq dan dikategorikan sebagai ‘miss adventure’ (tidak dirancang).

“Selepas meneliti fakta kes, mempertimbangkan bantahan pihak peguam dan hujah pendakwa raya serta peguam bela, wujud melebihi keraguan munasabah iaitu tidak terdapat sebarang kecuaian terhadap kematian Mohammad Tawfiq.

“Kematian Mohammad Tawfiq berlaku tanpa dirancang bagi menjaga kepentingan awam, keselamatan diri dan kewajaran untuk mempertahankan diri,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry, peguam pemerhati, Jagdeep Singh Deo, peguam keluarga Tawfiq, Zuhir Ahmad Zakuan bersama ibu dan bapa Tawfiq, Noorzan Abdul Rahman, 49, dan Salmiah Ismail, 47, hadir untuk mendengar keputusan inkues itu.


Sejak inkues berlangsung 15 bulan lalu, dua majistret mengendalikan prosiding berkenaan iaitu Noor Hisham Mohd Jaafar dan Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Prosiding inkues diadakan atas permintaan keluarga Mohammad Tawfiq yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis hingga menyebabkan kematian anak mereka dan ia bermula 16 Mac 2010. Pemuda berkenaan ditembak mati ketika mengamuk di Guar Sanji, dekat sini, pada November 2009 lalu.

Mengikut laporan, Mohammad Tawfiq, mengamuk hampir tiga jam menggunakan pisau pemotong sayur selepas marah dengan tindakan rakan meninggalkan dia di Alor Setar, selepas berhibur. Dia dikatakan singgah sebentar di Balai Polis Arau, untuk menyatakan hasratnya bertindak terhadap rakan berkenaan.

Selepas Nurshahida selesai membaca keputusan inkues, Jagdeep Singh bangkit meminta alasan kewajaran keputusan berkenaan, bagaimanapun Nurshahida memberitahu akan membawa persoalan itu kepada majistret terdahulu yang mengendalikan prosiding itu.

“Kami mendapati tiada sebarang alasan untuk memperkukuhkan keputusan inkues,” kata Jagdeep Singh.


Sementara itu, Noorzan berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan inkues itu dan akan berbincang dengan peguam bagi membolehkan tindakan susulan dalam tempoh terdekat.


Katanya, pihaknya turut berbincang dengan Jagdeep Singh supaya semakan semula dilakukan mengenai keputusan inkues berhubung kematian anaknya di Mahkamah Tinggi nanti.


“Kami kehilangan seorang insan yang boleh membantu kami pada masa depan dan akan bertindak mencari keadilan,” katanya.

myMetro | Tiada unsur jenayah

No comments: