Pages

Sunday, June 12, 2011

Pemberontak, askar tempur di selatan Yaman

MASIH ADA YANG SOKONG: Para penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh mencium potret beliau di Sanaa kelmarin, sambil mengharapkan beliau akan pulang ke Yaman dalam masa terdekat untuk menyambung pemerintahannya. -- Foto REUTERS


PERGOLAKAN DI DUNIA ARAB
ADEN: Kumpulan-kumpulan yang disyaki dianggotai oleh puak-puak pemisah menyerang sebuah pusat pemeriksaan tentera Yaman di selatan negara itu, semalam, menyebabkan lima askar dan tiga pemberontak terbunuh, kata para pegawai dan saksi.Para pemberontak menyerang kawasan pinggiran al-Habilayn, sebuah bandar di wilayah Lahj di selatan Yaman, tempat satu gerakan bersenjata sedang berusaha agar wilayah itu dibebaskan atau mendapat kuasa autonomi serantau yang lebih luas.Ia adalah pertempuran pertama yang berlaku di kawasan itu sejak sekitar tiga bulan lalu, kata para pegawai.Yaman pernah mengalami perang saudara pada 1994 selepas penyatuan bahagian utara negara itu yang dipimpin Presiden Ali Abdullah Saleh, dengan Yaman Selatan, yang ketika itu dipimpin sebuah republik yang disokong Soviet Union.Para penduduk di selatan itu mendakwa pemerintah Yaman mengabaikan mereka.Negara jirannya, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat bimbang Yaman mungkin runtuh dan menjadi huru-hara, serta memberi jalan kepada kumpulan Al-Qaeda bertapak, berikutan protes yang diadakan sejak berbulan-bulan lamanya bagi menggulingkan Encik Saleh, yang telah memerintah negara itu selama tiga dekad.Para penyokong Encik Saleh, yang cedera dalam satu serangan ke atas istana beliau minggu lalu dan terpaksa mendapatkan rawatan pembedahan di Arab Saudi, berkata beliau akan pulang untuk memerintah Yaman semula, sementara para penentangnya pula berkata beliau tidak akan dapat mengekalkan kuasanya.Sementara itu, di Sanaa, para aktivis pro dan antirejim di Yaman mula berkumpul bagi mengadakan perhimpunan baru semalam, sedang media milik pemerintah negara itu berkata presidennya sudah keluar daripada unit rawatan rapi di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi.Para pemberontak yang menentang Encik Saleh dan mereka yang mahu menggantikan beliau dengan sebuah majlis pemerintah sementara mula berkumpul di Dataran Universiti Sanaa, yang kini digelarkan sebagai 'Dataran Perubahan' dan kawasan berdekatan di Sittin Street menggesa diadakan peralihan kuasa segera. -- Reuters, AFP.Cyberita Online Luar Negara

No comments: