Pages

Wednesday, June 29, 2011

Askar upahan Blackwater dipenjara 30 bulan

WASHINGTON 28 Jun - Seorang askar upahan syarikat Blackwater Worldwide hari ini dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan, selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki warga Afghanistan pada 2009 di Kabul.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh hakim persekutuan terhadap tertuduh, Justin Cannon, 29, di Norfolk, Virginia termasuk dua tahun tempoh pemantauan.
Sebelum ini, Cannon dan tertuduh kedua, Christopher Drotleff dituduh menembak dua warga Afghanistan di dalam kereta dan seorang lelaki yang ketika itu sedang membawa anjingnya bersiar-siar.
Berikutan itu, seorang daripada penumpang kereta berkenaan dan lelaki yang membawa anjingnya maut, manakala seorang lagi cedera.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh terlepas tuduhan lebih berat iaitu memiliki senjata api dan melakukan serangan, namun didakwa membunuh penumpang di dalam kereta.
"Walaupun Cannon berada di Afghanistan untuk menyokong tentera Amerika Syarikat (AS), namun tindakannya memburukkan misi ketenteraan malah merosakkan kepercayaan rakyat negara itu," kata Neil Macbride, seorang peguam di Daerah Timur Virginia.
Dalam pada itu, Drotleff dijatuhkan hukuman penjara selama 37 bulan pada awal bulan ini dan kedua-dua tertuduh ditugaskan untuk membekalkan senjata latihan kepada Tentera Kebangsaan Afghanistan.
Sementara itu, komander tentera AS di Afghanistan, Jeneral David Petraeus menulis kepada mahkamah menyatakan insiden tembakan tersebut menjadi 'penghalang' kepada kejayaan misi ketenteraan di negara itu dan meletakkan nyawa anggota yang berkhidmat dalam bahaya. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: