Pages

Thursday, June 9, 2011

3 bandar masih trauma bencana

Pelancong salah anggap punca wilayah Kansai kurang dikunjungi

KYOTO (Jepun): Tiga bandar utama di wilayah Kansai, di sini dilapor masih dilanda trauma pasca bencana terutama dalam aspek pelancongan, walaupun ketiga-tiga bandar itu tidak terbabit dalam gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, Mac lalu.

Hakikat itu diakui sendiri Datuk Bandar Kyoto, Daisaku Kadokawa, yang mengesahkan bandar yang terkenal dengan tarikan berstatus tapak warisan dunia itu, turut tidak terlepas daripada menerima impak akibat tanggapan kurang tepat masyarakat umum terhadap situasi bencana berkenaan.
Beliau berkata, Jepun termasuk Kyoto memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk Malaysia dalam usaha mengembalikan keyakinan pelancong untuk terus berkunjung ke negara ini.
Berdasarkan rekod, katanya, selepas sektor pelancongan negara terjejas teruk terutama apabila jumlah kunjungan pelancong ke Jepun dilapor menurun secara mendadak sehingga 60 peratus, selepas bencana terbabit tercetus.

"Saya amat sedih memikirkan perkara ini, apatah lagi Kyoto sendiri turut menerima kesan sedangkan ia tidak terjejas. Justeru, kunjungan delegasi diketuai Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail) diharap dapat membantu mengembalikan keyakinan umum terhadap Kyoto sebagai salah satu destinasi utama pelancongan negara,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan delegasi lebih 20 peserta diketuai baginda Raja Muda Perlis ke Kansai meliputi Kyoto, Kobe dan Osaka, anjuran bersama MASholidays dan BMC Travel, sebuah agensi pelancongan yang berdaftar di Malaysia.

Terdahulu, ketibaan baginda dan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai disambut pegawai pelancongan dan penerbangan Jepun diketuai Ketua Pengarah Ketua Pengangkutan Daerah KInki, Yoshinobu Hara.
Difahamkan, kunjungan enam hari bermula semalam itu dianjur khusus MASholidays sebagai cabang perjalanan Penerbangan Malaysia (MAS) bertujuan mengembalikan semula keyakinan pelancong Malaysia untuk terus berkunjung ke Jepun, seperti sebelum berlakunya gempa bumi dan tsunami.

Sementara itu, baginda Raja Muda Perlis bertitah sudah menjadi tanggungjawab untuk masyarakat Malaysia membantu, walaupun Jepun dianggap sebagai sebuah negara yang kaya dan maju.

"Kita perlu menyemai sikap prihatin kepada semua masyarakat termasuk di Jepun, sekali gus membuktikan kita sentiasa peka terhadap isu semasa khususnya bencana alam yang menimpa masyarakat luar," titah baginda.
Berita Harian Online | 3 bandar masih trauma bencana

No comments: