Pages

Monday, May 2, 2011

Osama bukan bersembunyi dalam gua


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama membuat pengumuman kejayaan tentera negara itu membunuh pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden di Rumah Putih, Washington hari ini. - Foto Reuters



WASHINGTON: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) akhirnya menemui pemimpin al Qaeda, Osama bin Laden, bukannya di dalam gua di sempadan Afghanistan, sebaliknya bersama isteri mudanya di sebuah kediaman resort musim panas bernilai sejuta dolar kira-kira sejam perjalanan dari ibu negara Pakistan, kata pegawai AS.
Sepasukan kecil tentera AS menggunakan helikopter melakukan serbuan pada petang Ahad, kata pegawai berkenaan. Selepas pertempuran selama 40 minit, Osama dan seorang anak lelakinya bersama seorang wanita tidak dikenali dan dua lelaki lain terbunuh.


Pasukan tentera AS dikerahkan ke bangunan tiga tingkat seperti kubu itu selepas lebih empat tahun mengesan orang hubungannya melalui seorang lelaki yang ditangkap selepas serangan 11 September 201.


“Tahanan itu juga mengenal pasti bahawa lelaki terbabit adalah antara sebilangan kecil orang hubungan yang dipercayai Osama. Mereka percaya, lelaki itu mungkin tinggal bersama atau dilindungi oleh Osama,” kata seorang pegawai pentadbiran AS dalam satu taklimat kepada wartawan.


Akhirnya, Osama ditemui lebih sembilan tahun setengah selepas serangan ke atas AS pada 2001 — selepas pihak berkuasa menemui orang hubungan itu pada Ogos tahun lalu, yang tinggal bersama abangnya dan keluarga mereka di sebuah bangunan yang dilengkapi dengan sistem keselamatan yang ketat, kata pegawai AS.


Menurut mereka, orang hubungan dan abangnya antara yang terbunuh dalam serbuan itu. - Reuters

No comments: