Pages

Monday, May 2, 2011

6 lagi penunjuk perasaan mati



DAMSYIK 1 Mei - Enam orang awam mati ditembak oleh askar dan penyerang hendap di bandar Daraa, semalam.
Aktivis berkata, mereka terbunuh apabila tentera bertindak menyerang Daraa pada waktu subuh, manakala penyerang hendap menembak sesiapa sahaja yang keluar di jalan raya.
''Enam orang terbunuh di Daraa. Bandar ini telah dikepung. Bekalan makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan,'' kata saksi.
Bekalan air dan elektrik dipotong di Daraa ketika situasi semakin buruk selepas kira-kira 5,000 askar menyerang bandar itu pada Isnin lalu.
Ketika upacara pengebumian beberapa orang mangsa penunjuk perasaan yang terbunuh kelmarin, para aktivis berikrar meneruskan tekanan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad dengan mengadakan demonstrasi pro-demokrasi.
Sementara itu, sebanyak 138 lagi anggota Parti Baath pimpinan Assad keluar daripada parti itu bagi membantah tindakan kekerasan oleh kerajaan ke atas penunjuk perasaan, menurut senarai nama yang diterima oleh AFP di Nicosia.
Aktivis berkata, sekurang-kurangnya 66 orang maut kelmarin apabila berpuluh ribu penunjuk perasaan mengadakan demostrasi di Syria, manakala pihak berkuasa menyatakan sembilan anggota keselamatan ditembak mati oleh kumpulan pengganas.
Aktivis berkata, demonstrasi besar-besaran di seluruh negara ini diadakan mulai hari ini akan menandakan 'seminggu memecah pengepungan' yang merujuk kepada Daraa dan Douma yang dikawal oleh tentera sejak awal minggu ini.
Demonstrasi di pusat bandar Daraa akan diadakan hari ini, manakala di sekitar Damsyik akan diadakan esok.
Ia kemudian akan diadakan Banias dan Jableh pada Selasa ini manakala demonstrasi di Homs, Talbisseh dan Tall Kalakh yang bersempadan Lebanon akan diadakan sehari kemudian. - AFP

No comments: