Pages

Saturday, May 28, 2011

Obama dilarang hantar tentera perang Amerika Syarikat ke Libya


WASHINGTON 27 Mei - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan bajet untuk Pentagon berjumlah AS$690 bilion (RM2.7 trilion) tetapi menghalang penghantaran tentera darat ke Libya dan mengehadkan kuasa pentadbiran Presiden, Barack Obama ke atas pengendalian tahanan di Teluk Guantanamo.

Ahli dewan itu mengundi 322-96 menyokong bajet tersebut yang memenuhi permohonan perbelanjaan Jabatan Pertahanan sebanyak AS$119 bilion (RM357 bilion) untuk perang di Iraq dan Afghanistan.
Ia juga meletakkan sekatan ke atas kuasa Obama dalam mengurangkan simpanan senjata nuklear AS di bawah perjanjian senjata nuklear baru dengan Rusia, Perjanjian Strategik Pengurangan Senjata (START).
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Bersenjata, Buck McKeon berkata, rang undang-undang itu memberi tanggungjawab fiskal dalam Jabatan Pertahanan ketika AS berusaha untuk pulih daripada kemelesetan ekonomi dengan mengurangkan program yang membazir dan menggunakan dana untuk program yang lebih penting.
Dalam undian 416-5, ahli dewan itu menghalang tentera darat AS atau pasukan kontrak keselamatan swasta daripada beroperasi di Libya kecuali untuk menyelamatkan anggota pasukan keselamatan daripada bahaya.
Ahli Kongres antiperang, Dennis Kucinich berkata, undian itu menunjukkan peningkatan penentangan terhadap serangan udara diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya di mana Pentagon menyatakan memerlukan perbelanjaan kira-kira AS$750 juta (RM2.25 bilion) menjelang September.
''Kongres tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan ini yang menulis satu cek kosong untuk melancarkan perang Libya,'' kata Kucinich yang mencadangkan satu resolusi dan akan didebatkan pada minggu depan, yang mengarahkan Obama mengundurkan semua tentera AS dari pertempuran itu,
Ahli perwakilan juga menyokong cadangan mengekalkan suspek keganasan di Teluk Guantanamo, Cuba di mana mereka akan didakwa oleh tribunal khas tentera dan menyekat mereka daripada dibicarakan di AS.
Pendekatan itu juga akan menyukarkan pentadbiran Obama untuk memindahkan 171 tahanan yang masih berada di pusat tahanan itu ke negara-negara ketiga. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: