Pages

Saturday, May 28, 2011

Mladic bakal dibicara tribunal jenayah perang

pix_gal0
Jeneral Serb Bosnia tunggu ekstradisi ke The Hague
BELGRADE: Panglima era perang Serb Bosnia, Ratko Mladic akan berhadapan dengan perbicaraan di The Hague terhadap dakwaan pembunuhan beramai-ramai apabila ditangkap di Serbia selepas 15 tahun melarikan diri.
Pihak berkuasa Eropah mahu Mladic diekstradisi ke The Hague dalam masa 10 hari selepas Mladic ditahan kelmarin.
Mladic adalah pemimpin terakhir selepas Slobodan Milosevic dan Radovan Karadzic yang dipersalahkan terhadap penghapusan etnik ketika perang Bosnia 1992-1995.

Penangkapannya dijangka memberikan laluan kepada bekas negara Serbia itu untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).

“Proses ekstradisi sedang dijalankan,” kata Presiden Serbia, Boris Tadic kepada pemberita di Belgrade.

Mladic didakwa merancang pembunuhan beramai-ramai 8,000 penduduk Islam di bandar Srebrenica dan kepungan selama 43 bulan terhadap Sarajevo. Beliau ditemui di sebuah rumah ladang milik seorang sepupunya.
“Mladic mempunyai dua senapang yang tidak digunakan. Beliau bekerjasama dan tidak melawan,” kata Rasim Ljajic, menteri Serbia yang bertanggungjawab mencari mereka yang terbabit dalam jenayah perang.

Televisyen Serbia menunjukkan video Mladic, 69, diiringi oleh polis untuk disoal siasat oleh hakim penyiasat di mahkamah jenayah perang khas di Belgrade. Beliau mengenakan topi, bergerak perlahan.

Peguam Mladic kemudian memberitahu pemberita bahawa mahkamah menangguhkan soal siasat kerana anak guamnya itu ‘terlalu uzur’. Seorang pegawai menyifatkan Mladic kelihatan lemah.

Timbalan pendakwa jenayah perang berkata bahawa mahkamah akan menyambung soal siasat terhadap Mladic semalam.

Ketua Dasar Luar EU, Catherine Ashton menjangka Mladic akan diekstradisi ke Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yusoglavia di The Hague dalam masa sembilan atau 10 hari.

Tadic mengesahkan bahawa Mladic, 69, ditahan di Serbia. Walaupun penahanan beliau mengalihkan kesukaran diplomatik dari Belgrade, pendedahan bahawa Mladic berada di Serbia seperti yang disyaki ramai, membangkitkan persoalan bagaimana beliau mengelak dikesan sejak sekian lama.

Mladic masih lagi dilihat sebagai wira oleh kebanyakan penduduk Serb. Milosevic mati pada 2006 ketika dalam perbicaraan di The Hague atas tuduhan jenayah perang.

“Ini mengalihkan beban berat dari Serbia dan menutup satu halaman dalam sejarah malang kami,” kata Tadic.

Penahanan berkenaan mungkin agak terlalu lambat bagi membicarakan bekas panglima itu bersama Karadzic, bekas pemimpin politiknya, kata pejabat pendakwaan tribunal Yugoslavia.

Mladic didakwa pada 1995 bersama Karadzic yang ditahan pada Julai 2008 dan dibicarakan pada Oktober 2009. – Reuters Berita Harian Online | Mladic bakal dibicara tribunal jenayah perang

No comments: