Pages

Tuesday, April 5, 2011

Than Shwe bersara sebagai ketua tentera Myanmar




Than Shwe


YANGON 4 April - Bekas ketua junta Myanmar, Than Shwe bersara sebagai ketua tentera negara ini sejurus selepas menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan 'awam' pada Rabu lalu.
Than Shwe minggu lepas membubarkan junta yang dikenali sebagai Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC), berikutan pilihan raya November lalu tanpa penyertaan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dan aduan mengenai penipuan dan intimidasi.
"Jeneral Kanan Than Shwe dan Timbalan Jeneral Kanan Maung Aye bersara pada 30 Mac lalu selepas menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam.
"Mereka tinggal di kediaman masing-masing di Naypyidaw. Kami tidak dapat menyatakan rancangan masa depan mereka. Setakat ini mereka masih berehat," kata seorang pegawai Myanmar, hari ini.
Hierarki tentera terus memegang kuasa di negara ini dan ramai penganalisis percaya Than Shwe, 78, akan memainkan peranan penting di sebalik tabir.
"Walaupun mereka sudah bersara, mereka akan memberikan nasihat apabila diminta oleh kerajaan," kata seorang lagi pegawai.
Bekas Perdana Menteri, Thein Sein yang juga sekutu utama Than Shwe mengangkat sumpah sebagai Presiden di Parlimen di Naypyidaw pada Rabu lalu, tetapi tiada kenyataan rasmi mengenai peranan Than Shwe pada waktu itu.
Thein Sein termasuk sekumpulan jeneral yang menanggalkan uniform tentera untuk bertanding dalam pilihan raya November lalu dan kini menjadi ahli politik yang menganggotai Parlimen yang dikuasai oleh tentera dan proksi mereka. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: