Pages

Friday, April 15, 2011

PM Jepun didesak berundur




PEGAWAI kastam di bandar Vladivostok, Russia memeriksa  radiasi pada  kenderaan dari Jepun. Gambar kecil, Naoto Kan.
PEGAWAI kastam di bandar Vladivostok, Russia memeriksa radiasi pada kenderaan dari Jepun. Gambar kecil, Naoto Kan.




Gagal urus krisis nuklear, radiasi dikesan pada ikan
TOKYO: Semakin banyak pihak menggesa Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan supaya meletak jawatan atas kegagalannya mengendalikan dengan baik bencana alam dan krisis nuklear.
Kan yang mendapat sokongan umum kira-kira 30 peratus, cuba mendapatkan kerjasama parti lain bagi membantu memulihkan negara daripada lumpuh berikutan bencana alam dan meminda rang undang-undang bagi membayar projek pembangunan semula terbesar negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Parti Demokratik pimpinan Kan menguasai Dewan Rakyat tetapi perlu bantuan pembangkang untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan kerana kurang majoriti di Dewan Negara yang boleh menghalang perundangan dilaksanakan. 


Ketua parti pembangkang, Parti Demokratik Liberal (LDP) mendesak Kan melepaskan jawatan beliau. 


“Sudah tiba masanya untuk (Perdana Menteri) memutuskan sama ada beliau akan bertahan atau pergi,” lapor agensi berita Kyodo yang memetik Sadakazu Tanigaki memberitahu sidang media. 


Speaker Dewan Negara, Takeo Nishioka yang dikenali kerana mengkritik Kan daripada Demokrat juga mendesak Kan untuk melepaskan jawatannya, lapor Kyodo. 
Lima minggu lalu, gempa bumi terbesar dan tsunami menyebabkan hampir 28,000 maut atau hilang, memusnahkan timur laut Jepun dan merosakkan loji kuasa nuklear Fukushima. Tiada tanda penyelesaian terhadap krisis reaktor berkenaan. 


“Kerajaan Jepun mengesan kadar tinggi radioaktif dalam sayur yang ditanam berhampiran stesen kuasa nuklear di timur laut Jepun dan pada ikan di kawasan perairan berhampiran,” kata laporan berita semalam. 


Kementerian Kesihatan mendapati tahap radioaktif melebihi had dibenarkan dalam ikan yang ditangkap di Fukushima dan 11 jenis sayur di wilayah terbabit di mana Stesen Kuasa Nuklear Fukushima yang bermasalah terletak, lapor penyiar umum NHK. – Reuters/Agensi 

No comments: