Pages

Friday, April 15, 2011

Pemberontak gusar


ALGIERS: Pemberontak Libya memberi amaran berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Misrata oleh tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi jika Nato tidak meningkatkan serangan ke atas tentera kerajaan di bandar itu.
Amaran itu dikeluarkan berikutan serangan hebat roket oleh penyokong pemimpin Libya itu ke atas kawasan perumahan berhampiran pelabuhan yang dikuasai pemberontak telah mengorbankan lapan penduduk.

Jurucakap pemberontak berkata, angka kematian dijangka meningkat.

“Pembunuhan beramai-ramai ... akan berlaku jika Nato tidak campur tangan secara lebih serius,” jurucakap pemberontak, Abdelsalam, memberitahu Reuters melalui telefon dari Misrata.

Perancis dan Britain - negara yang mengetuai serangan ke atas tentera Gaddafi - semakin kecewa dengan kurangnya sokongan daripada negara sekutu Nato lain.

Pemberontak yang mempertahankan Misrata, bandar utama terakhir yang masih dikuasai mereka di barat Libya dan kawasan berlakunya pertempuran sengit sejak beberapa minggu lalu, bimbang dengan ketiadaan strategi ketenteraan yang jelas bagi menumbangkan Gaddafi.

Menurut pemberontak, tentera kerajaan telah menghujani roket buatan Russia ke wilayah Kasr Ahmad di Misrata ketika subuh dan ia berterusan ke tengah bandar.

Mereka telah melepaskan sekurang-kurangnya 80 roket di kawasan itu. “Setakat ini lapan penduduk terbunuh dan 20 lagi cedera,” kata jurucakap pemberontak Abdelbasset Abu Mzereiq.
Pertempuran sehari sebelum itu mengorbankan lima orang dan berpuluh lagi cedera. - Reuters

No comments: