Pages

Tuesday, April 12, 2011

Mubarak nafi gunakan kedudukan kumpul harta



KAHIRAH: Dalam komennya yang pertama sejak digulingkan, mantan Presiden Hosni Mubarak menafikan beliau telah menggunakan kedudukannya itu untuk mengumpulkan harta dan kekayaan ketika tiga dekad berkuasa dan mengeluarkan satu kenyataan emosional mempertahankan warisannya itu.
Kenyataan tersebut, yang disiarkan kelmarin pada akhir satu hujung minggu yang bergolak yang menyaksikan satu tindakan keras terhadap pemberontak, hanya membakar kemarahan rakyat Mesir, di tengah-tengah peralihan yang bergelora kepada satu sistem lebih berdemokrasi.Dalam satu pita audio, Encik Mubarak, 82 tahun, berkata beliau telah bersetuju 'memberikan kuasa' bagi satu penyiasatan ke atas kewangannya dan berjanji akan mendakwa semua orang yang telah mencemari nama baiknya.Sedang majlis tentera yang memerintah kini menghadapi tekanan ekoran cara ia mengurus peralihan selepas Encik Mubarak itu, kata-kata pertama bekas presiden itu sebagai peringatan bahawa beliau masih mampu mempengaruhi perasaan negara itu.Sejurus selepas ucapan itu disiarkan, pendakwa agung Mesir mengumumkan bahawa beliau telah mengeluarkan perintah yang mengarahkan mantan presiden itu dan dua anak lelakinya disoal siasat berkaitan tuduhan menggelapkan wang itu.Siasatan itu juga diluaskan bagi merangkumi tindakan keras ke atas pemberontak yang dianggarkan telah membunuh 300 orang. Langkah itu boleh membantu meredakan kemarahan rakyat.Saluran Al-Arabiya, yang menyiarkan ucapan itu, berkata ia dirakam Sabtu lalu, sehari selepas penunjuk perasaan berhimpun beramai-ramai di Dataran Tahrir bagi menuntut majlis tentera itu menyiasat kekayaan Encik Mubarak.'Saya amat tersinggung dan masih terluka, begitu juga keluarga saya, disebabkan kempen tidak adil terhadap kami dan tuduhan-tuduhan palsu yang mahu mencemari nama baik saya, kejujuran saya, pendirian (politik) saya dan sejarah ketenteraan saya,' kata Encik Mubarak.Ucapan itu dibuat sedang beratus-ratus penunjuk perasaan terus berhimpun di Dataran Tahrir.Sejak penyingkirannya itu, Encik Mubarak dan keluarganya diletak dalam tahanan dalam rumah di sebuah istana presiden di Sharm el-Sheikh, di kawasan peranginan Laut Merah. Beliau, yang asetnya dibekukan, belum didakwa. -- AP.

No comments: