Pages

Tuesday, April 12, 2011

Jepun dilanda gempa lagi, pekerja di loji Fukushima dipindah

TOKYO: Jepun semalam meluaskan satu zon pemindahan di sekeliling sebuah loji nuklear yang dilanda masalah, sebulan selepas terjadinya gempa bumi besar dan tsunami Mac lalu. Satu lagi gempa susulan berukuran 6.6 di skala Richter yang membunuh seorang lelaki, serta amaran tsunami, menggegarkan negara itu lagi.
Gegaran susulan terbaru semalam telah menyebabkan bangunan-bangunan di ibu kota Tokyo bergoyang dan memutuskan bekalan tenaga kepada sekitar 220,000 rumah, hanya beberapa jam selepas negara itu bertafakur seminit bagi memperingati 13,000 orang yang terbunuh ketika bencana 11 Mac itu, serta 15,000 yang disahkan masih hilang.Jabatan kajian geologi, US Geological Survey (USGS), berkata gempa di darat berukuran 6.6 itu melanda pada 5.16 petang waktu Jepun di kedalaman 13 kilometer.Pusat gempa itu 80 kilometer ke selatan Fukushima, berhampiran loji nuklear itu.Agensi kaji cuaca Jepun memberi amaran, satu ombak setinggi 1 meter boleh melanda Ibaraki, salah satu kawasan yang dipukul tsunami bulan lalu. Namun amaran itu dibatalkan sejam kemudian.Satu gegaran lain berukuran 7.1 pada skala Richter 7 April lalu, antara ribuan gegaran susulan yang melanda Jepun, telah membunuh sekurang-kurangnya dua orang serta memutuskan bekalan elektrik di sebahagian besar utara Jepun.Para pekerja yang bertungkus lumus membendung krisis di loji Fukushima-Dai-ichi itu telah dipindahkan selepas gempa terbaru semalam, yang menyebabkan keputusan tenaga ke reaktor-reaktor itu buat sementara.Para penduduk di seluruh negara itu telah berhenti bertafakur pada 2.46 petang, saat gempa bumi terbesar yang pernah dirakam di Jepun bulan lalu.Ia merupakan tragedi paling buruk di Jepun sejak Perang Dunia Kedua.Perdana Menteri Naoto Kan kelmarin berjanji 'tidak akan meninggalkan' mangsa-mangsa tsunami itu sedang beliau menumpukan perhatian kepada masa depan.Encik Kan, dalam lawatan keduanya ke zon bencana itu, berkata pemerintah akan 'bekerja secepat mungkin' bagi menyediakan rumah bagi lebih 150,000 orang yang masih tinggal di pusat perlindungan kecemasan.Sebagai menggariskan ancaman kesihatan jangka panjang akibat radiasi, pemerintah Jepun semalam berkata ia akan meluaskan kawasan pemindahan di sekeliling loji itu bagi merangkumi beberapa bandar di luar zon pengosongan 20 kilometer sekarang.Sementara itu, risiko satu kebocoran besar bahan-bahan beradioaktif daripada loji nuklear Fukushima itu semakin 'banyak berkurang,' demikian menurut seorang jurucakap pemerintah, Encik Yukio Edano. -- AFP.
-cyberita

No comments: