Pages

Tuesday, April 12, 2011

Imelda Marcos diarah pulangkan 12j peso yang digelapkan suami

 Imelda Marcos

MANILA: Sebuah mahkamah Filipina telah mengarahkan balu bekas diktator Ferdinand Marcos, Cik Imelda Marcos, mengembalikan 12 juta peso ($349,900) yang digelapkan mendiang suaminya pada 1983.
Jumlah itu disifatkan sebagai terlalu kecil berbanding dengan AS$10 bilion ($12.5 bilion) yang dianggarkan telah digelapkan mendiang Marcos dan sekutunya semasa pemerintahannya selama 21 tahun.Namun, kes itu merupakan kemenangan penting dalam usaha untuk merampas semula wang haram itu.Suruhanjaya Presiden berkaitan Pemerintah Bersih, yang ditubuhkan selepas penggulingan mendiang Marcos pada 1986, telah mengesan AS$6.5 bilion harta yang digelapkan.Sejauh ini, sekitar AS$1.97 bilion wang dan aset itu telah dirampas semula.Menurut kerani mahkamah, Cik Teresa Pabulayan, semalam keputusan terbaru itu dibuat oleh sebuah mahkamah antirasuah pada Jumaat lalu.Cik Marcos diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan wang itu.Keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan kenyataan mantan Pentadir Makanan Nasional, Encik Jesus Tanchanco, bahawa mendiang Marcos telah mengarahkannya melalui perbualan telefon pada 1983 untuk memindahkan wang itu ke dalam akaun peribadinya.Pada 1988, Encik Tanchanco diberikan kekebalan daripada sebarang pendakwaan jika beliau bersetuju membuat kenyataan.Cik Marcos, 81 tahun, yang terkenal dengan gaya hidup yang mewah, telah pulang ke Filipina pada 1991 selepas hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.Beliau telah menyertai semula arena politik dan dilantik untuk menyertai Dewan Perwakilan pada Mei lalu.Anak lelakinya pula dilantik sebagai senator dan anak perempuannya gabenor daerah.Keluarga mendiang Marcos ternyata masih popular di sebalik dakwaan pemerintahannya dicemari oleh pelanggaran hak asasi kemanusiaan, penindasan politik dan masalah ekonomi.Cik Marcos telah berdepan dengan sekitar 900 tuduhan jenayah dan sivil di mahkamah Filipina.Namun, hampir semua kes itu ditolak kerana kurang bukti.Sejauh ini, keluarga Marcos telah menafikan segala tuduhan - AP.

No comments: