Pages

Saturday, March 26, 2011

Serangan Barat masih berterusan




BEBERAPA pemberontak cuba mencari tempat perlindungan dalam satu serangan tentera Muammar Gaddafi di sebatang jalan raya dekat Ajdabiya, Libya kelmarin.


TRIPOLI - Tentera bersekutu melancarkan kempen menguatkuasakan zon larangan di Libya buat kali ketujuh berturut-turut semalam.
Tembakan antipesawat turut kedengaran di ruang udara Libya semalaman dengan tiga letupan menggegarkan bandar raya ini dan di Tajura, timur negara ini.
Menurut seorang wartawan agensi berita AFP, satu letupan kedengaran di tengah Tripoli manakala letupan lain didendar dari Tajura.
Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox semalam berkata, jet-jet Tornado melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa kenderaan berperisai di Ajdabiya, 860 kilometer dari sini.
Sebuah jet pejuang Perancis turut memusnahkan satu kumpulan artileri di luar Ajdabiya.
"Saya meragui bahawa serangan ini akan berakhir dalam tempoh beberapa hari. Saya berpendapat, ia akan berakhir dalam tempoh berminggu-minggu dan saya berharap ia tidak akan berlanjutan dalam tempoh berbulan-bulan," kata Fox kepada sebuah stesen radio Perancis.
Kelmarin, sebuah jet pejuang tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dimusnahkan selepas ia melanggar arahan zon larangan terbang yang diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jet itu dimusnahkan selepas ia mendarat di Misrata, 214 kilometer ke timur Tripoli.
Stesen televisyen Libya menyatakan kawasan penduduk awam dan tentera di bandar raya ini dan Tajura dihujani bedilan peluru berpandu.
Seorang doktor yang merawat mangsa di sebuah hospital di Misrata menyatakan, serangan tentera Gaddafi sejak 18 Mac lalu telah menyebabkan 109 orang terbunuh dan 1,300 lagi cedera, 81 daripadanya dalam keadaan parah.
Serangan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat (AS) sejak minggu lalu menjadikan sistem pertahanan Libya sebagai sasaran.
Jabatan Negara AS menyatakan sebanyak 12 buah negara mengambil bahagian dalam serangan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang termasuk dua buah dari negara Arab iaitu Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Seorang jurucakap pemerintah di Tripoli menyatakan hampir 100 orang awam terbunuh sejak tentera bersekutu melancarkan serangan pada minggu lalu.
Serangan yang dilancarkan oleh tentera bersekutu itu masih belum menyebabkan Gaddafi meletakkan jawatan seperti yang dituntut oleh kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak menuntut Gaddafi yang sudah memerintah selama empat dekad berundur.
Tuntutan itu dibuat sejak 15 Februari lalu selepas sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di bandar Benghazi. - Agensi
-kosmo

No comments: