Pages

Saturday, March 19, 2011

Dulu bercahaya, kini Tokyo bergelap




SUASANA gelap tanpa lampu elektrik di daerah Akihabara, Tokyo semalam.


TOKYO – Bandar raya Tokyo yang dihuni 13 juta penduduk kini bergelap ekoran langkah penjimatan tenaga elektrik akibat kerosakan yang berlaku pada loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima ekoran gegaran gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu.
Loji jana kuasa nuklear itu yang terletak sejauh 250 kilometer dari sini kini dalam proses disejukkan selepas meletup sebanyak empat kali selepas gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter berlaku.
Para penduduk di bandar raya ini juga sanggup berkurung di rumah kerana bimbang akan terdedah pada radiasi selepas berlaku kebocoran pada jana kuasa tersebut.
Jika terkena radiasi, asid deosirikbonukleik (DNA) akan rosak, kanser terutamanya tiroid akan dihidapi selain penyakit paru-paru, perut dan usus.
Namun, setakat ini, pihak berkuasa Jepun menyatakan kadar radiasi masih tidak berbahaya buat penduduk di Tokyo.
Banyak bangunan di bandar raya ini mengambil keputusan untuk menutup lampu bagi mengelak bekalan elektrik terputus selepas amaran diberikan oleh Menteri Perdagangan, Ekonomi dan Industri Jepun, Banri Kaieda bahawa satu kawasan yang luas di Jepun mungkin tidak mendapat bekalan elektrik jika penggunaan tenaga tidak dijimatkan.
Salah sebuah kawasan hiburan seks yang terkenal di Roppongi, di sini lengang menyebabkan para pekerja di pusat-pusat hiburan diarah pulang awal kerana kekurangan pelanggan.
“Mereka (pihak pengurusan) menyatakan saya boleh pulang awal,” kata seorang wanita Britain yang menjadi pelayan di sebuah pusat hiburan.
– Agensi
kosmo

No comments: