Pages

Thursday, March 24, 2011

Askar pro-Gaddafi giatkan serangan cegah pemberontak bangkit semula



AJDABIYA (Libya): Tentera Encik Muammar Gaddafi menggiatkan lagi bedilan ke atas kedudukan para pemberontak di luar bandar strategik di timur Libya, semalam.
Mereka menyerang bagi mencegah pemberontak mengambil kesempatan daripada serangan udara antarabangsa sejak lima hari lalu mengumpul semula pasukan bagi satu serangan baru di sebelah timur negara itu.Sementara itu, para diplomat Barat berkata satu perjanjian sedang diusahakan, yang bakal melibatkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengambil alih zon larangan terbang di Libya selepas Amerika Syarikat, yang telah memimpin operasi itu sehingga kini, mengulangi lagi kenyataannya bahawa ia komited terhadap peralihan tanggungjawab tersebut.Kapal-kapal perang Nato mulai meronda di perairan dekat pantai Libya semalam bagi menguatkuasakan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas negara itu.Askar-askar pro-Gaddafi yang menyerang Ajdabiya - sebuah bandar seramai 140,000 penduduk, yang menjadi pintu gerbang kepada bahagian timur negara itu - turut menyerang beberapa ratus pemberontak di kawasan pinggirannya, semalam.Para pemberontak membalas serangan itu dengan menggunakan roket-roket Katyusha tetapi mereka tidak dapat menandingi tentera pemerintah Libya.Kepulan asap hitam naik menyelubungi udara bandar tersebut.'Senjata-senjata yang mereka gunakan adalah senjata berat dan apa yang kami miliki hanyalah senjata ringan,' kata Encik Fawzi Hamid, seorang bekas anggota tentera Libya berusia 33 tahun yang telah berpaling tadah ke pihak pemberontak.'Tentera Gaddafi lebih kuat berbanding kami, jadi kami terpaksa bergantung kepada serangan-serangan udara,' tambahnya.Pihak pemberontak dan tentera Encik Gaddafi terlibat dalam satu pertempuran di Ajdabiya lebih daripada seminggu dengan kededua pihak gagal menguasai satu sama lain untuk mengambil alih bandar itu.Sementara itu di Paris, para wakil pembangkang Libya, Majlis Kebangsaan Sementara (INC), lewat kelmarin berkata rejim pos-Gaddafi akan berpendirian 'demokratik dan sekular', selain meramalkan pemimpin Libya itu akan kecundang dalam masa terdekat bagi membolehkan pembinaan semula masyarakat Libya.'Masa depan Libya adalah demokratik dan sekular,' kata Encik Mansour Saif Al-Nasr, seorang utusan, beliau juga bukan anggota majlis yang berpangkalan di Benghazi, kepada para penulis, bekas menteri dan wartawan di ibu kota Perancis itu. -- AP, AFP.

No comments: