Pages

Tuesday, March 1, 2011

AS tawar bantuan


LEPAS GERAM...orang ramai mengoyakkan poster Gaddafi ketika membantah kekejaman pemimpin Libya itu di Zawiyah, semalam. Bandar itu kini dikuasai penentang kerajaan.
LEPAS GERAM...orang ramai mengoyakkan poster Gaddafi ketika membantah kekejaman pemimpin Libya itu di Zawiyah, semalam. Bandar itu kini dikuasai penentang kerajaan.


WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan kesediaannya menawarkan ‘sebarang bantuan’ kepada rakyat Libya yang kini gigih menumbangkan rejim Muammar Gaddafi.
Ketika penentang kerajaan menguasai beberapa bandar di barat Libya, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, menyertai desakan pemimpin lain dunia, termasuk Barack Obama, menggesa Gaddafi berundur.

“Kita baru saja memulakan proses menyingkirkan Gaddafi.

“Mula-mula, kita perlu melihat rejimnya berakhir dan tiada lagi pertumpahan darah,” katanya Menurut Hillary, Washington tidak sabar melihat Gaddafi disingkirkan daripada kedudukannya sebagai pemimpin Libya secepat mungkin.

Kenyataan itu dibuat ketika Hillary bersedia menghadiri mesyuarat peringkat menteri di Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.


Pada pertemuan itu, dia dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatnya dari negara lain mengenai Libya.

Sementara itu, akhbar The New York Times melaporkan, pegawai AS dan Eropah membincangkan pelan menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya bagi menghalang pembunuhan ke atas rakyat negara itu oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan, setakat ini keputusan muktamad belum dicapai.

Menteri Luar Itali, Franco Frattini, pula berkata perjanjian persahabatan di antara negara itu dengan Libya yang dimeterai pada 2008 kini dianggap digantung. Pegawai kanan AS juga mengaku mereka membincangkan kemungkinan mengganggu siaran komunikasi di Libya bagi menghalang Gaddafi menyebarkan ucapan atau kenyataan kepada orang ramai.

Akhbar itu turut menyatakan, AS memberi pertimbangan sama ada tentera negara itu boleh membina kemudahan di Tunisia atau Mesir bagi membantu pelarian Libya. - AFP
myMetro

No comments: