Pages

Sunday, January 30, 2011

The World Dubai terbiar dan terhakis



GAMBARAN udara pulau-pulau buatan manusia digelar The World di perairan Dubai. - Agensi


DUBAI 29 Jan. - Gugusan pulau buatan manusia digelar The World di perairan Dubai, didakwa kini terbiar dan semakin terhakis.
Bagaimanapun, pemaju projek itu, Nakheel menegaskan dakwaan yang dibuat sebuah mahkamah tentang keadaan 300 buah pulau itu tidak benar sama sekali sebaliknya pulau-pulau tersebut masih stabil.
"Tiada isu tentang kestabilan pulau-pulau di The World yang yang lebih kurang 70 peratus daripadanya telah dijual dan diserahkan kepada pemiliknya.
"Pembeli pulau itu berhak meneruskan pembangunan yang telah dirancang," ujar jurucakap Nakheel menangkis dakwaan itu.
Pulau-pulau yang kebanyakannya dimiliki individu kaya dari pelbagai negara yang hanya boleh dimasuki menggunakan bot atau helikopter itu, merupakan satu daripada projek mega negara Teluk tersebut.
Pemilik-pemilik pulau terlibat telah mengumumkan beberapa perancangan untuk membangunkan pulau mereka, tetapi kerja-kerja itu masih belum berjalan sepenuhnya.
Syarikat yang diberi kontrak menyediakan sokongan logistik kepada The World, Perkhidmatan Bot Penguin Marine, memfailkan tuntutan kepada sebuah tribunal mendakwa pemaju pihak ketiga tidak diberi galakan membangunkan pulau mereka selain berhadapan masalah hakisan.
Mengikut kontrak Penguin Marine, syarikat itu perlu membayar lesen bernilai 5 juta dirham (RM4.2 juta) setahun untuk beroperasi, tetapi gagal berbuat demikian selepas pembangunan di The World tidak berjalan.
Peguam Penguin Marine, Richard Wilmot-Smith, dipetik media tempatan sebagai berkata kepada tribunal bahawa pulau-pulau itu kelihatan semakin tenggelam.
Nakheel menolak dakwaan itu dengan mengatakan ia merupakan kenyataan yang mengelirukan dan berniat jahat. - AFP

No comments: