Pages

Sunday, November 28, 2010

Komputer bank rosak, berjuta rakyat tiada wang



SYDNEY 27 Nov. - Kegagalan komputer di bank terbesar Australia, menyebabkan mesin-mesin pengeluaran wang tunai (ATM) tidak berfungsi dan mengakibatkan berjuta-juta penduduk negara ini tidak dapat mengeluarkan wang.
Bank Negara Australia (NAB) berkata, satu fail yang rosak memusnahkan sebahagian besar transaksi termasuk pembayaran gaji dan pemindahan wang serta merosakkan mesin ATM sehingga menyebabkan ramai pengguna marah kerana mereka tidak mempunyai wang pada hujung minggu ini.
Jurucakap bank itu Meaghan Telford berkata, NAB membuka cawangan-cawangannya hari ini dan esok serta membawa lebih ramai kakitangan pusat panggilan ketika juruteknik berusaha memulihkan masalah yang timbul.
"Kami meminta maaf. Kami sedar masalah ini menyebabkan kesulitan ramai. Kami sedang berusaha memulihkannya," katanya kepada AFP.
Telford berkata, fail bermasalah itu menghentikan semua transaksi pada Rabu lalu, termasuk deposit gaji, pembayaran bil dan pemindahan wang antara akaun.
Menurutnya, oleh kerana sistem elektronik terganggu, sebahagian besar mesin ATM turut rosak. Beliau tidak mendedahkan jumlah sebenarnya.
Pelanggan yang menggunakan laman web Twitter melaporkan masalah yang berlaku pada akaun bank mereka, antaranya baki wang yang adakalanya boleh dilihat dan tidak, sekali gus menyebabkan ramai di kalangan mereka tidak dapat mengeluarkan wang. - AFP
Telford berkata, NAB telah menyelesaikan sebahagian besar transaksi yang tertangguh tetapi tidak dapat meramalkan bilakah sistem itu akan kembali beroperasi seperti biasa.
Beliau juga tidak menyatakan berapa ramaikah daripada 11.5 juta pengguna NAB yang terjejas akibat masalah tersebut.
Menurut agensi berita kebangsaan AAP, transaksi bank besar antarabangsa HSBC ke bank lain, deposit senarai gaji dan debit secara terus turut terjejas, kerana NAB turut menjelaskan bayaran untuk HSBC di Australia.
NAB turut mengeluarkan pemberitahuan dalam laman webnya yang menyatakan perbankan Internet sangat perlahan kerana berjuta-juta pelanggan memeriksa akaun mereka.

No comments: